9 cabang PKR Pulau Pinang buat laporan terhadap Takiyuddin
GEORGETOWN - Sembilan cabang dan sayap Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan kerana didakwa telah menderhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengarah Komunikasi PKR Pulau Pinang, Amir Ghazali berkata, sembilan cabang yang terlibat iaitu Nibong Tebal, Batu Kawan, Bukit Mertajam, Permatang Pauh, Bagan, Kepala Batas, Tanjong, Bayan Baru dan Balik Pulau membuat laporan polis serentak pada Jumaat manakala empat lagi cabang akan membuat laporan polis pada Ahad.
Menurutnya, kenyataan Takiyuddin yang dipetik dalam satu portal berita dilihat amat bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang memutuskan agar Parlimen bersidang pada kadar segera.
"Beliau yang di petik dalam satu artikel menyatakan Yang di-Pertuan Agong tidak menitahkan bulan berapa untuk buka sidang Parlimen, Perdana Menteri sudah nyatakan akan buka parlimen pada September.
"Kenyataannya ini jelas bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan kami mohon pihak polis membuka kertas siasatan segera dan menyiasat Takiyuddin kerana cubaan menghasut rakyat untuk mengingkari dan menderhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Amir berkata, tindakan Takiyuddin ini amat berbahaya kerana dengan kedudukannya sebagai Menteri Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, dia berani menidak dan menafikan titah Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen bersidang dengan kadar segera.
Katanya, dengan tindakan tegas daripada pihak polis mampu mengajar mereka yang mempersoal dan menderhaka terhadap titah Raja-Raja Melayu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!