Tayar celup punca kemalangan
KEMALANGAN akibat objek di jalan raya bukannya satu perkara baharu. Daripada satu kajian yang saya lihat kelmarin, objek nombor satu yang paling kerap menyebabkan kemalangan di lebuh raya adalah cebisan tayar.
Sayang sekali, saya tidak dibenarkan untuk berkongsi kajian itu kerana cebisan tayar juga adalah objek paling banyak yang dikutip oleh petugas-petugas di atas lebuh raya – lebih dari 3,000 cebisan tayar yang dikutip dalam tempoh lima bulan sahaja!
Kepercayaan ramai ialah industri logistik menggunakan jalan singkat untuk meningkatkan keuntungan dengan menggunakan tayar celup.
Ia sebenarnya tidak benar kerana tayar celup memang dibenarkan penggunaannya bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia.
Tayar celup atau retread di Malaysia perlu menurut piawain Eropah iaitu UN ECE Regulation 108 untuk kereta penumpang dan Regulation 109 untuk tayar kenderaan komersial.
Kenapa tayar celup dibenarkan di Eropah? Alasan utama mereka adalah dengan menggunakan tayar celup, ia akan mengurangkan penggunaan bahan-bahan asli dan pencemaran yang terhasil ketika membuat tayar baharu.
Malah, tayar celup hanya menggunakan 20 peratus bahan asli daripada penghasilan tayar baharu.
Ia juga mengurangkan pembuangan tayar-tayar kerana sebuah lori perdagangan mampu mencecah perjalanan lebih 20 hingga 40,000 kilometer dalam masa sebulan.
Bayangkan berapa banyak tayar yang sebuah lori akan gunakan dalam tempoh setahun?
Alasan-alasan begitu pasti ditolak mentah-mentah oleh penduduk di negara yang jarang sekali mengetengahkan isu-isu alam sekitar.
Untuk memendekkan cerita, memang tayar celup boleh digunakan dan mempunyai piawaian keselamatan serta kualiti antarabangsa.
Jadi, kenapa cebisan tayar celup menjadi punca kemalangan di Malaysia? Kenapa tayar celup yang berkualiti dan selamat menjadi sebaliknya, dan ia berlaku di Malaysia.
Menurut pakar-pakar tayar yang saya kenali, tayar celup yang dijual di Malaysia ‘sepatutnya’ menurut piawaian antarabangsa dan tayar celup mampu tahan 70 hingga 80 peratus berbanding hayat sebuah tayar baharu.
Masalah berlaku apabila kenderaan komersial ini membawa muatan yang berlebihan.
Selain menyebabkan kerosakan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan, kenderaan yang melangkaui had muatan menyebabkan lebihan beban dan haba kepada tayar-tayarnya.
Ia akan menyebabkan tayar-tayar pecah dan untuk tayar celup, lapisan yang ditampal itu akan terlerai daripada badan tayar serta tertinggal di atas jalan raya, menunggu mangsa jika tidak dikutip dengan segera.
Untuk mengharamkan penggunaan tayar celup akan meningkatkan kos kepada syarikat pengangkutan dan pengguna akhirnya menjadi mangsa kerana kos itu akan dipindahkan kepada harga barangan.
Pada pendapat saya, jalan paling mudah dan paling berkesan buat sekarang ini adalah meletakkan stesen penimbang di dalam lebuh raya sendiri atau di setiap pintu masuk lebuh raya.
Operasinya perlu diberikan kepada pengendali lebuh raya sendiri kerana terbukti sejak dari negara merdeka lagi, agensi yang sepatutnya bertanggungjawab untuk menjaga isu tersebut sudah tidak mampu menanganinya.
Satu lagi yang perlu diubah ialah Akta Pengangkutan itu sendiri iaitu pemilik lori perlu dikenakan hukuman undang-undang kerana semua orang tahu, hampir kesemua pemandu lori hanya menurut perintah demi menjaga periuk nasi mereka.
Kes pemandu lori kilang pemprosesan ayam disaman kerana membawa pekerja-pekerja asing yang positif Covid-19 tempoh hari di Sungai Petani, Kedah adalah bukti jelas – majikan yang buat hal, pekerja yang kena hukum.
Undang-undang dunia tidak akan sempurna kerana ia dicipta oleh makhluk Tuhan. Jadi, jika akta-akta tersebut tidak berubah-ubah sejak berpuluh tahun lagi, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena.
* Hezeri Samsuri ialah wartawan dan penganalisis industri automotif sejak 25 tahun dahulu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!