Duo mampu gegar bumi Tokyo
GANDINGAN beregu badminton lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menyahut cabaran pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 bulan depan.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele berkata, Aaron dan Wooi Yik begitu teruja untuk beraksi di pentas temasya sukan terbesar di dunia itu setelah meraih slot kelayakan secara automatik.
Malah, Flandy memberitahu, krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini secara tidak langsung membolehkan setiap pemain memiliki peluang yang hampir sama mencipta kejutan di negara matahari terbit itu.
“Kita semua sudah maklum, Sukan Olimpik tahun ini sangat berbeza dengan edisi-edisi sebelumnya. Pandemik Covid-19 membuatkan kita sukar untuk meminimumkan kekurangan yang ada.
“Tetapi saya berharap Aaron dan Wooi Yik dapat bermain dengan baik, menampilkan semangat juang yang tinggi, fokus dan sentiasa menjaga emosi masing-masing kerana ini Sukan Olimpik pertama mereka. Semoga mereka berdua akan berjuang berhabis-habisan di Tokyo nanti.
“Saya juga percaya situasi dihadapi pemain Malaysia sama juga seperti dihadapi pemain negara lain. Cuma kita perlu positif memanfaatkan baki masa yang ada dalam meningkatkan kualiti permainan masing-masing,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Terdahulu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan lapan pemain negara layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
Selain Aaron Chia-Wooi Yik, cabaran negara turut digalas perseorangan lelaki utama, Lee Zii Jia, perseorangan wanita, Soniia Cheah, beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.
Pada Sukan Olimpik 2016 di Brazil, skuad badminton negara membawa pulang tiga pingat perak menerusi kejayaan bekas jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei selain beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan gandingan Peng Soon-Liu Ying.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!