Kecemerlangan bukan paksi kejayaan

No Image Caption
A
A
A

MASIH belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah mendapat keputusan cemerlang baru-baru ini.

Bagi mereka yang kurang cemerlang, perlu berusaha lagi kerana SPM hanya salah satu daripada proses pembelajaran.

Kejayaan hidup bukan berpaksikan kecemerlangan, banyak lagi kayu ukur yang mempengaruhi kejayaan hidup seseorang.

Pun begitu, ramai masih keliru antara kecemerlangan dan kejayaan. Apa yang jelas kecemerlangan adalah salah satu unsur kejayaan, manakala kejayaan hidup tidak semestinya cemerlang.

Sebetulnya, pola pemikiran kecemerlangan penentu kejayaan adalah tidak begitu tepat dan memberikan kesan negatif dalam jangka masa panjang. Kenapa begitu?

Bagi ibu bapa yang terlalu menuntut kecemerlangan daripada anak-anak, secara tidak langsung akan memberikan impak psikologi negatif kepada mereka.

Anak-anak akan beranggapan perhatian dan kasih sayang hanya boleh diperoleh jika mereka menunjukkan kecemerlangan.

Begitu juga di sekolah, mereka akan beranggapan jika tidak cemerlang akan mengurangkan perhatian daripada guru-guru dan rakan-rakan.

Artikel Berkaitan:

Tambahan pula, dengan adanya perbandingan dengan adik beradik dan rakan-rakan sekolah yang lain akan menambahkan lagi tekanan kepada pelajar berkenaan.

Sesungguhnya, impak negatif terhadap perkembangan psikologi mereka bukan sahaja terhenti di peringkat sekolah semata-mata, sebaliknya akan melarat dalam perkembangan kerjaya dan kehidupan.

Pendek kata, sekiranya tidak diatasi dengan baik boleh mendorong mereka mengalami kecelaruan pemikiran kerana sentiasa meletakkan ‘syarat’ dalam kehidupannya iaitu - “Sekiranya aku bekerja dengan cemerlang, barulah majikan menyukai aku” atau dalam kehidupan rumah tangga - “Jika aku sentiasa naik pangkat, barulah isteri menyayangi aku”.

Akhirnya, bila tidak berjaya akan berlakulah tekanan emosi yang tinggi dan pemikiran yang bercelaru kerana pemikiran ‘tidak boleh gagal’ telah terpahat dalam minda mereka selama ini.

Menurut perspektif psikologi, perkara paling penting dalam kehidupan adalah bagaimana meneruskan kelangsungan hidup dalam suasana dunia mencabar.

Justeru, anak-anak perlu dididik agar mempunyai jiwa dan pemikiran yang besar serta boleh terima kegagalan. Malah, lakukan yang terbaik dalam kapasiti mereka.

Menurut Al-Siebert seorang pakar psikologi menerusi bukunya, The Survivor Personality telah mengkaji kelangsungan hidup manusia selama berpuluh-puluh tahun dan merumuskan bahawa kejayaan hidup seseorang bukannya kerana warisan kekayaan yang ditinggalkan oleh keluarga mereka, bukan juga disebabkan kepandaian dan kehebatan mereka, malah tidak disebabkan oleh kesempurnaan perancangan mereka, sebaliknya bergantung kepada ‘flexibility dan adaptability’.

Ia bermakna, kita perlu belajar melakukan perubahan mengikut keadaan semasa dan mahir menyesuaikan diri sepanjang masa.

Menurut perspektif Islam, segala usaha yang dilakukan untuk mendapat keredaan ALLAH adalah penentu kejayaan sebenar.

Berkaitan hal itu, daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya perumpamaan seorang mukmin adalah seperti lebah, ia makan yang baik-baik, mengeluarkan yang baik-baik, bila ia hinggap tidak membuat dahan patah dan rosak.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Ini bermakna, seseorang insan yang cemerlang adalah sentiasa menjaga dirinya sebaik mungkin serta memberi manfaat dan tidak sesekali mengkhianati orang lain.

Pada hemat saya, mentaliti kecemerlangan haruslah digarap bukan berdasarkan kejayaan secara zahir semata-mata, sebaliknya mereka perlu diterapkan nilai kepercayaan yang tinggi di dalam diri bahawa setiap kejayaan adalah perlu dibina secara berterusan untuk dinikmati bersama dan bukannya untuk diri sendiri semata-mata.

Bahkan, mereka juga perlu dididik agar sentiasa merendah diri dan menyedari bahawa setiap kejayaan adalah pinjaman sementara di dunia ini.

Ingatlah, kejayaan bukanlah seperti menilik diri kita di cermin, sebaliknya hasil tilikan orang lain kepada kita.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!