Pengalaman berkhidmat di bumi berdarah Bosnia
JENAYAH perang yang berlaku di Bosnia-Herzegovina pernah menjadi perhatian dunia pada 1992 hingga 1995 yang mengorbankan ratusan ribu nyawa tidak berdosa.
Ia disifatkan sebagai satu kekejaman yang paling teruk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Konflik Bosnia bermula pada tahun 1991 ketika era keruntuhan komunisme di Yugoslavia apabila satu referendum telah diadakan untuk menuntut pemisahan Bosnia-Herzegovina dari Yugoslavia dan menjadi sebuah negara yang merdeka.
Wilayah Bosnia-Herzegovina pada ketika itu dihuni 44 peratus Muslim Bosnia, 31 peratus Orthodok Serbia dan 17 peratus Katolik Croatia.
Pada 29 Februari 1992, referendum tersebut disokong dan diluluskan serta diterima oleh masyarakat antarabangsa.
Bagaimanapun keputusan referendum tersebut dibantah oleh puak Serb Bosnia yang memboikot referendum tersebut dan disokong oleh negara Serbia pimpinan Slobodan Milosevic.
Akibatnya, tentera Serbia pimpinan Radovan Karadzic bertindak menyerang Bosnia-Herzegovina dengan alasan untuk mengelak bumi Yugoslavia daripada berpecah.
Peristiwa yang berlaku pada Julai 1995 menjadi titik hitam kepada umat Islam Bosnia apabila tentera Serbia mengepung bandar Srebrenica dan melakukan pembunuhan kejam beramai-beramai tanpa rasa belas kasihan dan ihsan.
ATM berkhidmat di Bosnia
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah ditugaskan untuk menyumbang tenaga ketika krisis tersebut dan menghantar anggotanya berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk misi keamanan.
Mejar (B) Abdul Kadir Soib menceritakan pengalamannya menyertai kumpulan kedua Batalion Malaysia (Malbatt 2) di bawah misi Pasukan Pelindung PBB (UNPROFOR) pada 12 Ogos 1994.
"Seramai 1,533 anggota termasuk 101 pegawai dari Batalion 5 Rejimen Askar Melayu Diraja, 2 Kor Armor Diraja, Rejimen Semboyan Diraja, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Kor Perkhidmatan Diraja dan lain-lain elemen ditugaskan ke Bosnia," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Menurut beliau, ATM terkenal dalam penugasan PBB seperti misi pengaman di Kemboja, Somalia dan Bosnia-Herzegovina.
"Pasukan saya sudah menyertai latihan selama enam bulan sebelum dihantar ke Bosnia-Herzegovina, ia adalah mencukupi bagi pasukan itu melaksanakan tugas dengan cemerlang," katanya.
Tentera Serbia rogol wanita
Beliau sedih kerana kekejaman tentera Serbia ibarat manusia yang tidak bertamadun, mereka sanggup sembelih manusia dan merogol wanita.
"Apabila PBB sudah 'campur tangan' keadaan kekejaman di kawasan itu telah berkurangan," katanya.
Abdul Kadir dari 8 Skuadron Jurutera Diraja, Kem Mahkota, Kluang, Johor berkata, beliau berkhidmat di Bosnia-Herzegovina selama tujuh bulan pada 12 Ogos 1994 sehingga 19 Mac 1995.
"Tugas saya di sana adalah memberi tumpuan terhadap aspek penyelenggaraan jalan. Jalan yang jaraknya sejauh kira-kira 100 kilometer dipertanggungjawabkan kepada pasukan saya untuk diselenggarakan," katanya.
Beliau berkata, keadaan jalan di sana agak teruk akibat kesan peperangan dan sudah lama tidak diselenggarakan.
"Malah jentera berat konvoi yang menghantar bantuan kemanusiaan turut menyebabkan keadaan jalan itu bertambah teruk," katanya.
Selain itu, jelas Abdul Kadir, pasukannya berdepan cabaran apabila jarak jalan yang perlu diselenggarakan itu agak jauh dan panjang selain keadaan muka bumi di sana turut menyukarkan mereka melaksanakan tugas.
"Jalan tersebut harus kami selenggara jika ia berlubang. Kita menggunakan bancuhan simen jika pasukan sukar untuk mendapatkan tar di kawasan itu untuk tampal jalan raya berlubang," katanya.
Letupkan bongkah batu
Abdul Kadir berkata, pasukan jurutera Malbatt 2 tidak ada jentera berat untuk menolak tanah atau batu besar di negara itu.
"Bagi mengatasi masalah itu, kita perlu menggunakan inisiatif sendiri supaya jalan tersebut dapat dilalui," katanya.
Beliau berkata, sebagai contoh jika ada bongkah batu besar di jalan raya akibat insiden tanah runtuh, pasukannya tiada mesin atau jentera untuk tolak batu itu.
"Kita terpaksa menggunakan bahan letupan untuk memecahkan batu tersebut menjadi kecil supaya memudahkan kerja menolak oleh kenderaan jentera loji yang dimiliki," katanya.
Menurutnya, askar jurutera Malbatt turut dipertanggungjawabkan untuk membersihkan salji dan ais di atas jalan supaya melancarkan perjalanan penghantaran trak bantuan kemanusiaan ketika musim sejuk pada Disember hingga Februari.
"Kita juga tidak ada peralatan untuk membersihkan salji di atas jalan raya, namun Markas UNPROFOR telah membantu dengan dua buah jentera 'Snow Plow and Salt Spreader' bersama operator daripada Slovakia Engineering Battalion.
"Ia merupakan pengalaman baharu bagi saya, kita dapat tahu bagaimana cara untuk mencairkan salji dan ais di atas jalan raya itu," katanya.
Abdul Kadir berkata, pasukan infantri akan membantu memantau keselamatan pasukan jurutera Malbatt ketika menjalankan tugas penyelenggaraan.
"Setiap kali pasukan saya menjalankan tugas, pasukan infantri akan ditugaskan sebagai pasukan pengiring bagi memastikan keselamatan kami terjamin," katanya.
Menurutnya, kedudukan tentera Serbia jauh daripada kawasan operasi, namun mereka boleh bom dengan menggunakan meriam artileri ke kawasan penduduk.
"Kita tidak bebas pada setiap masa, kita keluar hanya untuk melaksanakan tugas, ada masa kita tidak boleh keluar dan perlu duduk di dalam kem atau kubu pertahanan," katanya.
Keluarga risau
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, beliau mula berkhidmat dalam pasukan ATM pada 15 Jun 1978.
"Pada masa itu, masih ada ancaman komunis, ia menyebabkan keluarga saya bimbang serta risau tentang keselamatan saya apabila menyertai ATM," katanya.
Abdul Kadir berkata, beliau memaklumkan kepada keluarga bahawa tugasnya tidak bahaya dan tidak bertempur dengan komunis.
"Saya bukan askar infantri yang bertempur dengan komunis di dalam hutan, saya ditugaskan untuk membuat kem askar di kawasan operasi di Gerik, Temengor dan Banding, Perak," katanya.
Abdul Kadir berkata, beliau mengikut jejak langkah bapa saudara yang juga sorang anggota tentera.
"Saya belajar di Sekolah Pertukangan Perantis Angkatan Tentera pada Tingkatan Empat dan Lima, kemudian menjadi pegawai kadet di Maktab Tentera Diraja," katanya.
Menurutnya, beliau telah diserapkan di dalam RAJD, kemudian dihantar ke Kluang, Johor untuk berkursus selama enam bulan dalam kejuruteraan medan tempur pada 1979.
"Saya turut menjalani lanjutan kursus jurutera selama enam bulan pada 1988, saya juga terpilih untuk berkursus di sebuah kolej tentera di Pune, India selama tiga bulan pada 1991," katanya.
RAJD merupakan pasukan bantuan tempur yang bertanggungjawab membantu Tentera Darat mencapai kemenangan dalam peperangan.
Semasa aman, RAJD juga terlibat dalam projek pembangunan negara dengan penglibatan pasukannya melaksanakan projek-projek pembinaan infrastruktur asas kepada rakyat terutamanya di kawasan pedalaman atau satu ketika dahulu ditakrifkan sebagai kawasan keselamatan.
Di samping itu, RAJD juga membantu kepada keamanan sejagat dengan penglibatannya dalam misi-misi di bawah PBB sebagai kumpulan bantuan tempur.
Sebagai sebuah Kor yang bertunjangkan kejuruteraan, RAJD mempunyai keunikan yang tersendiri dalam menjayakan misinya.
RAJD dilengkapi dengan peralatan khas di samping sumber manusia yang terlatih dan mahir khusus untuk kejuruteraan medan.
Abdul Kadir berkata, pengalaman lain yang tidak boleh dilupakan sepanjang tempoh beliau berkhidmat adalah penglibatannya dalam projek 'Jalan laluan Jeep' dari Kampung Merapoh, Pahang hingga kaki gunung tahan pada 1992.
"Laluan sejauh 21 kilometer itu adalah bagi memudahkan masyarakat mendaki Gunung Tanah, jalan itu kecil sahaja tapi cabarannya adalah bentuk muka bumi yang berbukit dan di dalam hutan.
"Projek tersebut mengambil masa lima tahun untuk siap. Saya hanya terlibat dengan projek itu dalam tempoh setahun setengah, sebelum rakan pasukan lain mengambil alih meneruskan projek itu," katanya.
Kembali semula ke Bosnia-Herzegovina
Abdul Kadir berpeluang membawa isteri dan anak perempuannya ke Bosnia-Herzegovina untuk melancong pada September 2016.
"Saya bawa keluarga ke sana adalah untuk mereka melihat keadaan di negara itu. Biarpun pernah ‘terluka’ akibat peperangan, namun masyarakat di sana tetap berusaha untuk bangkit.
Abdul Kadir turut membawa keluarganya itu ke semua lokasi beliau pernah ditugaskan di Konjic, Jablanica dan Pazaric, Bosnia-Herzegovina.
"Saya dapat mengimbau pengalaman saya bertugas di negara itu apabila kembali ke lokasi tersebut," katanya.
Beliau berkata, anggota tentera RAJD yang bersara boleh menjadi kontraktor atau terlibat dalam kerja-kerja pembinaan berdasarkan pengalaman yang ada.
"Jasa RAJD juga sangat besar, selain bekerja untuk ATM, kita juga melaksanakan tugas dalam pelbagai misi pembangunan negara," katanya yang bersara pada 27 Oktober 2006.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!