Bekas banduan insaf, berjuang untuk agama

Mohd Nuri kini sedia mewakafkan diri memperjuangkan agama dan membantu mereka yang memerlukan. Gambar kanan: Mohd Nuri teruja bertemu ibunya, Jamilah Salleh, 60, sebaik sahaja dibebaskan pada 3 Jun lalu.
Mohd Nuri kini sedia mewakafkan diri memperjuangkan agama dan membantu mereka yang memerlukan. Gambar kanan: Mohd Nuri teruja bertemu ibunya, Jamilah Salleh, 60, sebaik sahaja dibebaskan pada 3 Jun lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Akibat terpengaruh dengan rakan sebaya, seorang lelaki yang pernah dianugerahkan sebagai pelajar terbaik sebuah kolej pada tahun 2007 berdepan detik hitam.

Bercerita kepada Sinar Harian, pemegang sijil diploma jurusan seni halus logam, Mohd Nuri Selajudin, 35, itu, berkata, dia terlibat dengan kes rompakan bersenjata api dan kumpulan kongsi gelap pada usia 23 tahun.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana sempat bertaubat dan mengubah seluruh hidupnya dengan melakukan kerja-kerja amal dan berbakti kepada bangsa serta agama.

Pengalaman dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun serta empat sebatan kerana kesalahan yang dilakukan itu banyak membantu dirinya menjadi hamba ALLAH yang baik.

Menceritakan kisah pahit dalam hidupnya, Mohd Nuri memberitahu, semuanya bermula selepas bapanya ditipu oleh rakan niaga dengan melesapkan wang tunai berjumlah RM10,000 sehingga jatuh sakit dan meninggal dunia.

"Akibat itu, saya mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan dan mereka mengajak saya menyertai kumpulan kongsi gelap yang kononnya mahu membantu membalas dendam.

"Sebaik sahaja menyertai kumpulan kongsi gelap, pelbagai jenayah yang kami rancang dan terbesar ialah melakukan rompakan menggunakan senjata api di sebuah premis di Kajang," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mereka membawa keluar peti besi berisi wang tunai tetapi malang bagi kumpulannya kerana pihak berkuasa lebih tangkas kerana beberapa hari selepas mereka ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Nuri, dia bersama empat rakan yang terlibat tidak mengaku salah dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000.

Katanya, mereka kemudiannya cuba mencari pemilik premis yang dirompak untuk meminta penyelesaian di luar mahkamah dan akhirnya semua bersetuju dengan syarat perlu membayar kos ganti rugi sebanyak dua kali ganda dengan nilai kerugian.

"Saya dan rakan-rakan setuju dengan syarat tersebut tetapi tidak sangka semua kawan saya terus melarikan diri dan meninggalkan saya sendirian untuk menanggung beban hutang yang sangat banyak.

"Saya kemudiannya nekad melakukan satu lagi rompakan bersenjata api seorang diri untuk membayar hutang namun semuanya berubah selepas saya sekali lagi berjaya diberkas oleh polis pada 26 Oktober 2017 di Kuala Lumpur.

"Kali ini saya dihadapkan ke mahkamah dengan dua pertuduhan, merompak dengan menggunakan senjata api serta mengacukan pistol dan dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dengan empat sebatan," katanya.

Menurut Mohd Nuri, kesan sebatan yang diterima sehingga kini masih terasa dan parutnya akan kekal selama-lamanya.

Katanya, dia bernasib baik kerana sentiasa menunjukkan sikap terbaik ketika dalam tahanan diberi remitan oleh Jabatan Penjara Malaysia, iaitu pelepasan awal dua tahun pada 3 Jun lalu.

Jelasnya, terlalu banyak pengajaran dan ilmu agama yang dipelajari sepanjang hidup dalam penjara.

"Kini, saya sudah insaf dan mula mengabdikan diri kepada ALLAH. Saya berazam akan mewakafkan diri dengan melakukan kerja amal dan membantu mereka yang ditindas serta dalam kesusahan," katanya.

Mohd Nuri berharap remaja dan masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan rakan-rakan serta perlu bijak memilih rakan untuk masa depan yang lebih baik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!