Warga emas tinggal dalam surau lama

Sulaiman duduk di tangga surau lama yang kini menjadi tempatnya berteduh di Kampung Stesen, Nilai, Negeri Sembilan.
Sulaiman duduk di tangga surau lama yang kini menjadi tempatnya berteduh di Kampung Stesen, Nilai, Negeri Sembilan.
A
A
A

NILAI – Seorang lelaki warga emas memilih untuk tinggal di dalam sebuah surau lama di Kampung Stesen, di sini sejak lebih dua tahun lalu.

Bagi Sulaiman Che Soh, 72, dia bersyukur apabila tuan tanah membenarkannya untuk terus tinggal di situ.

Meskipun tanpa kemudahan elektrik, namun setidak-tidaknya ada tempat buatnya berteduh dalam menghabiskan sisa tua yang entah setakat mana.

“Saya mempunyai sembilan anak hasil empat perkahwinan terdahulu. Tapi saya tidak mahu menyalahkan mereka kerana saya sendiri yang buat pilihan tinggal di sini.

“Biarlah mereka dengan hidup mereka dan saya dengan hidup saya. Ada tempat tinggal ini pun saya dah bersyukur sangat," katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Anak Jati Nilai, Mohd Shahril Hakimi Hamdan pada Khamis.

Sulaiman
Sulaiman

Apa yang menjadi kesukaran buat Sulaiman ketika ini ialah tahap penglihatannya semakin kabur.

Menurutnya, keadaannya itu menyebabkan dia tidak lagi dapat bekerja untuk menampung hidup.

Artikel Berkaitan:

"Dulu macam-macam kerja saya buat antaranya kerja memotong ayam di pasar, kerja bertukang dan saya juga ambil upah mengurut.

"Tapi sejak mata tak nampak ini, susahlah sikit. Nak pula musim Covid-19 ini orang nak datang mengurut pun tiada," katanya.

Sulaiman menerima kunjungan daripada NGO Anak Jati Nilai di surau lama di Kampung Stesen, Nilai pada Khamis.
Sulaiman menerima kunjungan daripada NGO Anak Jati Nilai di surau lama di Kampung Stesen, Nilai pada Khamis.

Ujarnya, kerana ketiadaan duit, dia biasanya hanya makan nasi berkuahkan kicap dan berlaukkan telur serta sayur pucuk ubi kayu yang ditanam di belakang rumah.

Sementara itu pemilik tanah, Muhammad Fauzi Leman, 55, berkata, beliau memberi kebenaran kepada Sulaiman untuk tinggal di situ kerana simpati dengannya yang tiada tempat tinggal.

"Tapak surau lama ini tanah isteri saya dan Pak Cik Sulaiman sebelum ini dia tumpang tidur di surau Perhentian Bas Nilai.

"Jadi saya kesian tengok keadaan dia dan bagi dia tinggal di surau lama ini secara percuma, cuma ia tiada kemudahan elektrik," katanya.

Malah beliau turut memberi kebenaran kepada mana-mana pihak yang berhasrat membantu mengubah suai surau lama berkenaan untuk memberi lebih keselesaan kepada Sulaiman untuk tinggal di situ.

Sementara itu Mohd Shahril Hakimi berkata, beliau mengetahui mengenai permasalahan warga emas berkenaan daripada rakannya.

Katanya, warga emas berkenaan memberitahu dia selesa tinggal di situ cuma mengharapkan bantuan bulanan berikutan dia kini tidak lagi dapat bekerja.

Keadaan dapur Sulaiman.
Keadaan dapur Sulaiman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!