Polis Marin rampas kapal kargo, kayu balak bernilai RM4.73 juta

Turut dirampas 70,000 batang rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM52,500.
Turut dirampas 70,000 batang rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM52,500.
A
A
A

SIBU - Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPMW5) Bintulu membuat rampasan dianggarkan bernilai RM4.73 juta dalam Op Benteng dan Op Kontraban yang dilaksanakan di daerah Bintulu pada Jumaat.

Komander PPMW5 Sarawak, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, menerusi Op Benteng, sebuah kapal kargo dianggarkan bernilai RM4 juta telah dirampas bersama 929 kayu balak pelbagai jenis dan saiz dengan anggaran nilai RM185,800 serta pelbagai peralatan perkapalan yang nilainya berjumlah RM417,100.

Katanya, kru kapal kargo seramai lima warga tempatan dan seorang warga asing turut ditahan dalam operasi itu.

“Dalam Op Benteng di Kuala Batang Kemena, sebuah kapal kargo dalam perjalanan dari Sri Aman ke Bintulu telah ditahan serta diperiksa dan didapati membawa muatan kayu balak pelbagai jenis dan saiz. Juragan gagal mengemukakan keterangan berkaitan Akta Kastam 1967 iaitu tiada dokumen pelepasan pelabuhan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Shamsol berkata, kapal kargo tersebut dan muatannya telah diiringi ke Markas Operasi PPMW5 dan kes dirujuk serta diserahkan kepada Jabatan Kastam Bintulu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Shamsol berkata, menerusi Op Kontraban melibatkan sekatan jalan raya di kawasan Jalan Pesisir Bintulu-Kuala Tatau dan Kampung Warisan, Jepak, pihaknya menahan dan memeriksa sebuah van yang membawa muatan pelbagai jenama minuman keras dan rokok.

Katanya, pemandu lelaki berumur 38 tahun itu gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen berkaitan muatan tersebut dan van serta muatannya telah dibawa ke Markas Operasi PPMW5.

“Kes telah dirujuk dan diserah kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu untuk tindakan lanjut. Rampasan melibatkan 70,000 batang rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM52,500, 150 karton minuman keras bernilai RM24,757.92 dan sebuah van berharga RM50,000,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!