Dua maut, lori muatan ayam terbakar
NILAI - [DIKEMASKINI] Dua maut manakala seorang lagi cedera apabila lori muatan ayam hidup yang dinaiki terbabas dan melanggar tiang jejambat di Kilometer (KM) 283.6 Lebuhraya Utara - Selatan (PLUS) arah utara awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika lori terbabit dalam perjalanan menghala ke Perak dari arah Seremban.
Katanya, lori tersebut dipercayai hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang kiri jalan sebelum terbabas melanggar tiang jejambat sehingga mengakibatkannya terbakar.
"Pemandu lori, N Vasutheven, 48, yang berjaya dikeluarkan oleh orang awam mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Mohd Fazley berkata, kelindan, R K Mohan Raj, 28, ditemui rentung akibat tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.
"Anak pemandu lori, iaitu V Dharshaan, 16, berjaya keluar sebelum lori terbakar mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki. Mangsa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban," katanya.
Katanya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!