Hargai keringat pekerja pembersihan
CYBERJAYA- Pekerjaan dalam kategori 3D (Dirty, Dangerous & Difficult) bukannya mudah kerana pekerja akan sentiasa berdepan keadaan yang kotor, busuk dan bahaya, selain berisiko dijangkiti pelbagai penyakit termasuk Covid-19.
Ketika rakyat Malaysia dinasihatkan berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, pekerja pembersihan terus berkhidmat untuk masyarakat bagi memastikan persekitaran bersih dan selesa.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar berkata, pengorbanan wira-wira yang tidak didendang itu perlu diraikan dengan sambutan Hari Pekerja Pembersihan pada 17 Jun setiap tahun.
Menurutnya, ungkapan ‘Keringat Teringat-Ingat’ yang dipilih sebagai tema Hari Pekerja Pembersihan 2021 merujuk kepada keringat atau peluh yang akan terhasil apabila manusia menggunakan tenaga melebihi kadar biasa, manakala teringat-ingat adalah perasaan mendalam terhadap sesuatu perkara.Sudah tentu pekerja pembersihan yang dikategorikan sebagai pekerjaan kategori 3D memerlukan kudrat dan tenaga yang lebih daripada biasa sekali gus akan mengeluarkan keringat.
“Jadi, ‘Keringat Teringat-Ingat’ ialah kudrat dan bakti dicurahkan pekerja pembersihan yang bertungkus lumus setiap hari untuk membersihkan kawasan persekitaran dan sewajarnya mereka dihargai serta diingati oleh masyarakat,” katanya sempena sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2021 pada Khamis.
Namun, Ismail berkata, disebabkan ia baru tahun kedua pihaknya menganjurkan sambutan berkenaan, mungkin masyarakat masih belum peka mengenainya.
“Kami berharap sambutan Hari Pekerja Pembersihan diraikan masyarakat sebagaimana sambutan Hari Guru atau Hari Jururawat yang disambut setiap tahun.
“Jika kita boleh ingat 16 Mei adalah sambutan Hari Guru, kita juga mahu masyarakat mengingati tarikh 17 Jun sebagai sambutan Hari Pekerja Pembersihan,” kata Ismail.
Beliau berkata, SWCorp mempunyai seramai lebih 27,000 pekerja pembersihan melibatkan 52 pihak berkuasa tempatan (PBT) di tujuh negeri. Sebanyak 70 peratus daripada pekerja tersebut adalah warga tempatan manakala selebihnya pekerja asing.
Keselamatan
Menurut Ismail, dalam situasi kes Covid-19 yang agak tinggi, pihaknya turut mengambil langkah keselamatan maksimum bagi memastikan pekerja mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan kerajaan.
“Bermula 18 Mac tahun lalu sehingga hari ini, seramai 235 pekerja pembersihan dikesan positif Covid-19.
“Bagaimanapun, masyarakat tidak perlu risau kerana setiap pekerja pembersihan telah mengikuti SOP ditetapkan dengan pelbagai langkah keselamatan sama ada sebelum atau selepas bekerja. Ini termasuk sanitasi, mengenakan pakaian yang sesuai dan memakai pelitup muka,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, SWCorp terbuka untuk menerima sebarang aduan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran SOP membabitkan pekerja mereka.
“Pekerja pembersihan perlu mematuhi SOP kerana mereka terdedah kepada kuman dan virus setiap hari ketika menguruskan sisa pepejal serta sampah sarap,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, SWCorp juga menitikberatkan aspek kemahiran dalam kalangan pekerja apabila seramai 362 orang perantis dalam kalangan pekerja syarikat konsesi sedia ada telah berdaftar bagi mengikuti latihan dalam bidang masing-masing.
Menurutnya, sehingga kini seramai 219 graduan berjaya menamatkan latihan dengan ditauliahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), manakala seramai 143 orang perantis yang merupakan pengambilan tahun 2021 sedang mengikuti latihan kemahiran dan dijangka tamat pada November ini.“Ini adalah usaha kami untuk menarik lebih ramai pekerja tempatan menyertai industri ini. Kami menyediakan mereka dengan sedikit kemahiran kerana kita tidak mahu bergantung kepada pekerja asing.
“Kita berusaha mengurangkan pekerja asing tetapi ia satu cabaran kerana orang kita amat susah untuk bekerja dalam sektor 3D. Sebab itu kita kena jadikan kerja-kerja ini menarik dengan menawarkan skim dan gaji menarik serta ada kenaikan gaji.
“Masyarakat juga perlu sentiasa menghargai mereka. Jika skim yang disediakan bagus tetapi dicemuh masyarakat, sudah pasti pekerja tempatan pun tak berminat dengan kerja ini.
“Maka dua faktor ini iaitu skim gaji menarik dan mengurangkan persepsi negatif masyarakat akan kita utamakan,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!