7,000 ayam hangus, ladang ternakan terbakar
PEKAN - Dianggarkan 7,000 ekor ayam hangus dalam kebakaran melibatkan sebuah ladang ternakan di Batu 8, Jalan Kuantan - Segamat di sini pada awal pagi Sabtu.
Bagaimanapun, kira-kira 3,000 ekor ayam lagi berjaya diselamatkan dalam kebakaran yang dilaporkan berlaku pada jam 6.34 pagi itu.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini dan Taman Tas bersama dua jentera ke lokasi untuk operasi pemadaman.
Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula air dari tangki pam jentera.
"Kebakaran melibatkan bangunan reban seluas 3.7 x 37.2 meter persegi berjaya dipadamkan, namun hampir 90 peratus strukturnya musnah," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Ismail berkata, punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!