Syukur ada mesin ATM beras
KUALA LUMPUR - Sebanyak 85 masjid di Wilayah Persekutuan dijangka akan dilengkapi dengan mesin ATM beras, khusus bagi membantu 23,000 asnaf yang berdaftar bagi menerima beras secara percuma.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail berkata, beliau melihat inisatif menempatkan mesin ATM beras itu sebagai satu langkah yang baik dan memudahkan.
Menurutnya, justeru rancangan untuk penempatan mesin ATM beras di masijid-masjid itu akan dibincangkan lebih lanjut pada persidangan antara Jawatankuasa Masjid-masjid Wilayah Persekutuan bulan depan.
“Salah satu cadangan kertas kerja yang akan dibentangkan adalah tentang inisiatif bantuan mesin ATM yang memudahkan ini.
“JAWI sentiasa bersedia cadangan dan pandangan semua pihak agar kita dapat mencipta inovasi-inovasi baharu yang mungkin boleh menunjukkan bahawa masjid adalah pusat sehenti yang boleh memberikan perkhidmatan selagi tidak bertentangan dengan syarak,” katanya selepas merasmikan mesin ATM beras pertama di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat, di sini.
Mesin ATM berharga RM19,000 itu adalah kiosk pertama dalam negara dan mempunyai dua fungsi, iaitu mengeluarkan beras mengikut kuantiti diperlukan dan mempunyai tabung derma bagi mereka yang ingin menyumbang wang untuk tujuan isian semula.
Mesin berkenaan mampu menampung pengisian sebanyak 200 kilogram beras.
Mohd Ajib berkata, sehubungan itu JAWI mengalu-alukan sumbangan daripada badan-badan korporat untuk menjadi rakan strategik bagi bersama-sama memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
"Badan-badan korporat yang mempunyai bajet Tanggungjawab Sosial Korporat diharap dapat menjadi rakan strategik masjid dan Jawi, dalam usaha mempermudahkan penyaluran bantuan kepada asnaf dan golongan yang memerlukan," katanya.
Pada majlis itu 10 asnaf dari kawasan Datuk Keramat menerima kad pintar mesin berkenaan, yang melayakkan mereka menerima dua kilogram beras seminggu secara percuma.
Sementara itu, salah seorang penerima Mohd Yusoff Ismail, 67, menyatakan rasa syukur dengan kaedah bantuan berkenaan yang mampu mengurangkan beban ditanggung.
“Sebelum ini pun selalu terima bantuan dari masjid ini. Kadang-kadang duit, kadang-kadang beras. Alhamdulillah sekarang dapat ambil beras setiap minggu,” katanya.
Bagi Saliza Basli, 38, yang mewakili ibunya, Faridah Baharuddin, 68, menyifatkan kaedah yang diperkenalkan itu amat memudahkan pengguna.
“Syukur dan terima kasih atas bantuan ini. Saya harap setiap masjid dapat sediakan kemudahan yang sama kerana ia sangat memudahkan,”katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!