Pandu Puteri platform lahirkan pemimpin
KOTA BHARU - Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar menganggap Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) adalah platform untuk melahirkan pemimpin masa depan.
Baginda bertitah, sebagaimana baginda sendiri berpengalaman selama 50 tahun dalam Pandu Puteri sejak 1969 di bawah lapan Raja Permaisuri dan empat isteri Perdana Menteri.
"Tidak terlintas di minda saya untuk menjadi penaung kerana saya dalam Pandu Puteri ini kerana minat dan teruja.
ARTIKEL BERKAITAN: Permaisuri Agong terima selempang Pandu Puteri
"Saya rasa anda sebagai ahli Pandu Puteri mempunyai masa depan yang cerah dan berpotensi menjadi pemimpin kelak. Anda semua adalah keluarga saya dan saya berharap dapat membawa Pandu Puteri ke tahap lebih membanggakan," titah baginda ketika mencemar duli merasmikan Hari Peringatan Sedunia Persatuan Pandu Puteri di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, malam tadi.
Baginda bertitah, pengalaman menyertai Pandu Puteri juga memberi peluang seseorang untuk mengenali ramai kawan dari seluruh dunia.
Turut berangkat ke majlis itu Timbalan Yang Dipertua PPPM, Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tengku Amalin Aisyah Puteri.
Hadir sama Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Jeyadhevi Subramaniam; Yang Dipertua PPPM Cawangan Kelantan, Datin Nik Azizah Nik Yahya dan Timbalannya, Datin Nik Ariza Datuk Arifin.
Pada 13 Februari lalu Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan menerima selempang Penaung Diraja PPPM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!