Euro 2020: Southgate minta penyokong England bersabar
PENGURUS England, Gareth Southgate mengakui The Three Lions berprestasi rendah ketika pertembungan Kumpulan D Euro 2020 menentang Scotland pada awal pagi Sabtu.
Namun di sebalik itu menurut Southgate, England berada di landasan terbaik untuk mara ke pusingan 16 terbaik, walaupun persembahan mereka mendapat cemuhan penyokong Three Lions di Stadium Wembley.
Katanya, dia memahami kemahuan dalam kalangan penyokong England yang mahukan perlawanan bercorakkan serangan seperti ketika menewaskan Scotland 2-0 di Stadium Lama Wembley pada Euro 1996.
“Saya memahami kemahuan penyokong England dalam perlawanan menentang Scotland, namun penyokong perlu banyak bersabar.
“Sudah tentu akan ada masanya untuk sesebuah pasukan tersebut berada pada satu tahap prestasi yang anda sebagai penyokong tidak mahukan, namun itulah lumrah bola sepak.
“Pada saya, England pada fasa pertengahan kumpulan dan kami memahami reaksi penyokong. Namun ingin saya tegaskan sekali lagi kami fokus misi Euro 2020 dan masih berada di landasan tepat," katanya.
Mengenai prestasi penyerang Harry Kane sehingga digantikan Marcus Rashford pada 15 minit terakhir perlawanan, Southgate memuji pemain-pemain Scotland yang berjaya merantai pergerakan pemain Tottenham Hotspur tersebut.
“Pemain-pemain Scotland telah mengunci segala pergerakan Kane ditambah dengan lima pemain di bahagian belakang, secara tidak langsung menyukarkan pergerakannya.
“Bahagian pertahanan Scotland telah melakukan tugasan dengan cemerlang pada perlawanan ini, apatah lagi ketika mereka bertahan.
“Pada perlawanan ini, Sejujurnya kami tidak menemui jawapan, dan perlu mencari jawapan tersebut apabila menentang Republik Czech selepas ini,” katanya.
Aksi England, Republik Czech di Wembley minggu depan bakal menyaksikan pasukan yang akan menjuarai saingan peringkat kumpulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!