7,944 individu divaksin di Parlimen Beluran
BELURAN - Seramai 7,944 individu telah diberikan vaksin Covid-19 setakat ini di tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan Parlimen Beluran menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan ketika ini.
Ahli Parlimennya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, tiga PPV itu adalah lokasi pemberian vaksin utama di Parlimen Beluran.
"Hari ini saya telah melawat PPV yang sedang beroperasi di Dewan Serbaguna Pekan Beluran bagi melihat sendiri proses pemberian vaksin kepada penduduk setempat selain dua lagi tempat iaitu di PPV di Dewan Kampung Kobambangan Paitan dan PPV di Dewan Institut Perhutanan Sabah, Telupid.
"Seramai 7,944 individu telah diberikan vaksin di ketiga-tiga PPV ini di bawah PICK setakat ini dan ia terus giat dilaksanakan bagi mencapai imuniti kelompok di seluruh negara," katanya selepas melawat PPV Dewan Serbaguna Pekan Beluran pada Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) berkata, peningkatan kadar vaksinasi adalah antara indikator penting dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara.
"Ia sekali gus akan membolehkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial selain membantu kita beralih keluar secara berfasa dari kemelut pandemik Covid-19 kepada normal kehidupan pra pandemik," katanya.
Justeru, Ronald menggesa orang ramai terus mendaftarkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana ia penting sebagai langkah melindungi keselamatan diri, keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!