PKP 3.0: Econsave sedia bantu pasarkan hasil tanaman petani, pekebun
JOHOR BAHRU - Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) menggalakkan para petani dan pekebun yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 supaya menghubungi pasar raya itu bagi membolehkan hasil tanaman mereka dipasarkan di 85 cawangannya di seluruh negara.
Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam berkata, inisiatif itu bertujuan membantu golongan berkenaan memasarkan hasil tanaman mereka tanpa melalui orang tengah.
“Kita memang menggalakkan petani dan pekebun di luar sana yang ada hasil tanaman untuk ke cawangan berdekatan atau terus menghubungi saya.
“...kerana kebanyakan bekalan kami diambil daripada pembekal berdekatan. Jadi kalau ada dalam kalangan mereka (petani dan pekebun) yang tidak dapat pasarkan hasil tani, boleh beritahu kami,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan keperluan asas kepada seorang suri rumah, Nor Aziah Anuar, yang menanggung 11 anak di Kampung Permatang, Kempas Baru, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan pemberita sama ada Econsave mempunyai inisiatif membantu petani atau pekebun yang terjejas akibat PKP 3.0.
Mas Imran berkata, Econsave telah membantu 25,000 keluarga di seluruh negara menerusi pemberian keperluan asas dan sayur-sayuran, sejak April tahun lepas.
Beliau berkata, ia termasuk bantuan kepada Nor Aziah, 39, yang hidup serba kekurangan selepas suami dan dua anaknya kehilangan pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun lepas.
Sementara itu, Nor Aziah berkata, suaminya, Ramizan Ramli, 40, bekerja sebagai juruteknik pendawaian sebelum ini manakala anak lelakinya yang berusia 22 tahun dan anak perempuan berusia 20 tahun masing-masing bekerja di kilang dan jurujual di sebuah pusat beli-belah.
Menurutnya, demi kelangsungan hidup, mereka sekeluarga kini berniaga burger di hadapan rumah.
“Walaupun pelanggan ada tetapi tidak begitu rancak, mujur ada pelbagai pihak menyalurkan bantuan termasuk Baitulmal yang memberikan RM300 sebulan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!