Bekas tentera tinggal bawah jejambat pindah ke rumah transit
KUALA LUMPUR - Seorang pesara tentera bersama keluarganya yang berteduh di bawah jejambat Jalan Loke Yew di sini dipindahkan ke rumah transit Flat Seri Johor.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun turun ke lokasi dan sama-sama membantu Suria Mohamad Hassan, 59 bersama isterinya, Azariyah Abd Aziz, 43, dan anak-anaknya berpindah ke kediaman baharu, pada Sabtu.
Rina berkata, pihaknya dimaklumkan keluarga tersebut tinggal di kawasan itu sejak dua tahun lalu sebelum ditularkan baru-baru ini.
"Kadang-kadang kita terlepas pandang tapi keluarga ini perlu dibantu. Saya lihat keutamaan bukan hanya dari segi kebajikan tetapi yang penting adalah anak-anaknya.
"Anak yang sulung berusia 14 tahun hingga dua tahun. Mereka masih bersekolah dan saya tak mahu ada anak-anaknya tercicir dalam pendidikan," katanya ketika lawatan ke penempatan keluarga tersebut pada Sabtu.
Beliau berkata, kes tersebut ditangani dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
"Keluarga ini akan ditempatkan ke rumah transit DBKL, sementara di pihak Baitulmal dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Kementerian Pertahanan juga turut membantu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pesara tentera sembilan anak tinggal bawah jejambat dibantu
"Di pihak saya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Kebajikan Negara, kita telah menyampaikan bantuan tabung bantuan segera serta bakul makanan.
"Insya-ALLAH empat orang anaknya akan diberikan bantuan di bawah tabung kanak-kanak bawah JKM bulan hadapan," katanya.
Sebuah portal berita pada Jumaat melaporkan kedaifan keluarga pesara tentera berkenaan yang duduk di dalam pondok tanpa bekalan elektrik serta memasak menggunakan dapur kayu.
Rina berkata, melihat pondok usang diduduki keluarga tersebut, pihaknya tidak menyangka kes Suria berlaku di bandar Kuala Lumpur.
"Saya berikan semangat dan motivasi kepadanya kerana tidak mahu dia serta isterinya berputus asa.
"Kita faham keadaan dialaminya satu pengalaman yang pahit, namun kita harap masa hadapan mereka lebih cerah dan baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!