Isu selesai, nama RTM kembali bersih
KUALA LUMPUR - Isu melibatkan RTM kini selesai selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menjelaskan agensi penyiaran itu tidak melakukan sebarang kesalahan susulan kritikan keras kerana didakwa gagal menyiarkan secara langsung ucapan pemimpin tertentu semasa majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan di Seremban, Ahad lepas.
Kisah bermula apabila Lim Swee Kuan, iaitu Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, memuat naik kenyataan menerusi Facebook bertanyakan sama ada RTM mensabotaj kerajaan serta mahu “pihak yang berkenaan di RTM dihukum”.
Swee Kuan juga berkata, surat rasmi akan dihantar kepada Gobind berhubung isu itu.
Ini susulan RTM tidak menyiarkan secara langsung ucapan Loke serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada majlis berkenaan yang menyaksikan hanya ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disiarkan secara langsung. Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu disabotaj RTM: Kenyataan Swee Kuan bersifat peribadi
Susulan itu, Gobind mengambil tindakan segera dan mengarahkan RTM menghantar laporan serta menyenaraikan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan permintaan untuk membuat liputan acara.
Selepas meneliti laporan, Gobind pada Khamis menyatakan RTM tidak bersalah setelah mendapati agensi penyiaran itu mematuhi SOPnya iaitu hanya menyiarkan ucapan perdana menteri pada sebarang program yang turut dihadiri menteri dan menteri besar lain.
Bagaimanapun Gobind menyatakan siaran ucapan oleh menteri lain boleh dibuat secara langsung jika ada permintaan namun dalam kes ini tiada permintaan sedemikian dibuat.
Penjelasan beliau membersihkan nama stesen TV berusia 73 tahun milik kerajaan itu namun telatah Lim dilihat sebagai kurang wajar oleh pengamal media dan mencetuskan polemik sama ada ia melanggar kebebasan media.
Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang berkata Bernama dan saluran TVnya Bernama News Channel juga mengamalkan SOP sama berhubung siaran langsung.
Katanya seperti juga RTM, hanya ucapan perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong akan disiarkan secara langsung.
“Itulah yang sepatutnya. Siaran langsung bukan untuk semua dan hanya untuk individu paling penting pada acara itu. Tambahan pula siaran langsung menelan kos yang tinggi,” kata Azman.
Beliau berkata dalam kes ini, setiausaha akhbar seharusnya memahami tanggungjawab dan situasi, bagi mengelakkan keluarnya kenyataan sedemikian.
Azman juga memuji Gobind kerana menangani isu itu secara profesional selain memastikannya tidak bertambah buruk sementara menunggu respons RTM sebelum membuat keputusan.
Barangkali pendekatan ini harus diguna pakai oleh mereka yang terbabit dalam media termasuk setiausaha akhbar agar mereka mendapatkan pencerahan dan memahami perkara yang berlaku sebelum melenting tanpa usul periksa, sekali gus mengelakkan malu sendiri pada masa akan datang.
Sementara itu, pensyarah kanan Jabatan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, prosedur RTM mengenai siaran langsung bukan suatu yang baharu kerana negara lain termasuk Singapura juga mengamalkan perkara sama.
Katanya ini juga bukan kali pertama hanya ucapan perdana menteri disiarkan secara langsung oleh RTM.
“Sekiranya ada beberapa menteri termasuk perdana menteri dijangka menyampaikan ucapan, hanya ucapan perdana menteri akan disiarkan secara langsung kerana perdana menteri merupakan pemimpin teratas.
“Kecuali jika ada perdana menteri negara luar bersama-sama perdana menteri kita, maka ucapan kedua-dua pemimpin itu akan disiarkan secara langsung,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata dari perspektif kewartawanan, kandungan ucapan perdana menteri mempunyai lebih impak dan nilai berita berbanding menteri lain pada acara sama.
“Selain itu, siaran langsung juga menelan belanja yang tinggi, justeru jika semua ucapan disiarkan secara langsung, ini akan membazirkan masa tayang, bermakna kerugian pendapatan. Oleh itu, badan penyiaran akan memilih ucapan paling penting,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!