80,000 mendaftar sukarelawan MyVac
KEPALA BATAS - Seramai 80,000 individu mendaftar untuk menyertai inisiatif Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) di seluruh negara sejak pendaftarannya dibuka ketika pemberian vaksin fasa pertama pada Mac lepas.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, daripada jumlah itu, 4,500 sukarelawan MyVac di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu ditugaskan di 332 pusat pemberian vaksin (PPV), manakala bakinya dalam mod bersedia apabila lebih banyak PPV dibuka.
"Sukarelawan ini ditugaskan memberi sokongan dan membantu memudahkan urusan bukan sahaja kepada petugas terutama barisan hadapan di PPV malah orang ramai yang hadir untuk menerima suntikan vaksin.
"Setakat ini saya berpuas hati dengan MyVac kerana ia satu daripada gerakan sukarelawan untuk membantu rakyat bagi memastikan kita mencapai kelompok masyarakat yang menerima vaksin Covid-19," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di PPV Dewan Millennium, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai sukarelawan MyVac diperlukan dalam usaha membantu kerajaan memastikan kelancaran proses vaksinasi di PPV kerana lebih banyak PPV mega dan di kawasan luar bandar termasuk penempatan Orang Asli akan dibuka dalam masa terdekat.
"Jumlah PPV yang akan dibuka di seluruh negara kemungkinan sehingga 600, jadi kami menjangkakan lebih ramai sukarelawan MyVac diperlukan. Saya percaya mereka (sukarelawan MyVac) dapat membantu memberi sokongan di PPV," katanya.
Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata beliau turut melawat Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, yang dijadikan PPV bermula hari ini (Sabtu).
Beliau berkata, PPV itu mampu menampung sehingga 400 penerima vaksin setiap hari dan beliau berharap ia dapat memberi manfaat kepada orang ramai terutama penduduk di Kepala Batas.
"PPV IPPT USM mula memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada 50 orang hari ini dan jumlah itu dijangka bertambah sehingga 400 orang sehari. Ini dapat mempercepatkan proses vaksinasi," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!