Hidup berubah lepas isteri hidap strok
MERU - Kehidupan sebuah keluarga dekat sini berubah sekelip mata selepas isterinya disahkan menghidap penyakit strok sejak tiga tahun lalu.
Suaminya, Mohd Aidil Saprani, 39, berkata, isterinya, Nur Hazlinda Razali, 32, sebelum ini bekerja di sebuah kilang di sekitar sini, namun berhenti selepas keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Menurutnya, ketika penyakit stroknya makin teruk, doktor mengesahkan pula isterinya menghidap penyakit buah pinggang selain disahkan hamil empat bulan.
"Isteri saya ditahan di wad HTAR (Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang) selama 77 hari bagi tujuan dialisis dan rawatan penyakit strok.
"Namun selepas pembedahan, doktor tidak dapat menyelamatkan kandungan isteri yang ketika itu berusia 27 minggu kerana pendarahan pada otaknya bertambah buruk," katanya.
Mohd Aidil berkata demikian ketika ditemui ketika menerima bantuan kewangan dan keperluan asas daripada pihak Gerakan Masyarakat Prihatin Semalaysia (GMP) di sini pada Sabtu.
Selain Mohd Aidil, pihak GMP turut menyantuni sepasang suami isteri, Suhaila Mohd Lahuri, 43, dan Shariffudin Mohd Dorman, 54, yang mana suaminya turut menghidap strok sejak September tahun 2020.
Suhaila berkata, sebelum ini suaminya bekerja sebagai penyelia logistik di sebuah kilang pemprosesan plastik di Pelabuhan Klang.
Menurutnya, kini mereka sekeluarga hanya bergantung kepada bayaran pampasan daripada syarikat dan bantuan rakan sekerja suaminya bagi menampung keperluan harian.
"Sejak suami saya menghidap strok dan kencing manis, kami hanya bertahan dengan bantuan orang ramai, tapi untuk jangka masa panjang, saya masih tidak pasti kerana saya masih dalam proses memohon bantuan zakat," katanya.
Dalam pada itu, Presiden GMP, S Hassan Kuthoos Syed Ahamed Kabeer berkata, sebanyak RM5,000 diperuntukkan untuk agihan sumbangan kepada 34 isi rumah meliputi golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan kumpulan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memerlukan bantuan di sekitar Meru dan beberapa kawasan di Kapar.
Menurut beliau, bantuan diberikan dalam bentuk bahan mentah, makanan kering, keperluan asas dan wang saguhati.
"Kami tidak menunggu golongan sebegini mencari kami untuk berikan bantuan, sebaliknya kami sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang pergi mencari mereka berdasarkan maklumat yang diberi oleh individu sekitar sini.
"Inisiatif ini dibuat untuk kali kelima dan ia kan diteruskan dari masa ke masa supaya kami dapat terus membantu mereka yang memerlukan bantuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!