Perancah besi runtuh: Kerja pembinaan diarah henti serta-merta
SHAH ALAM - Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) telah menghentikan serta-merta kerja di tapak pembinaan yang terlibat dengan insiden perancah besi atau ‘scaffolding’ jatuh di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) pada lewat petang Sabtu.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Prolintas mengesahkan kejadian tersebut melibatkan projek pembinaan lebuh raya berdekatan Kota Damansara yang diuruskan oleh syarikat pemaju Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd.
“Sehubungan dengan itu, arahan pemberhentian kerja di tapak pembinaan telah dikeluarkan dengan serta-merta. Pihak pemaju dan kontraktor utama terlibat akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib dalam melakukan siasatan.
“Pihak kami akan mengeluarkan kenyataan susulan berkaitan insiden ini dari masa ke masa,” menurut kenyataan itu.
Pada Sabtu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis memaklumkan mengenai kejadian perancah besi runtuh di kawasan terbabit pada jam 7.14 petang.
Norazam berkata, dua warga Bangladesh yang sedang bekerja di bawah tapak pembinaan setinggi 12 meter itu mengalami cedera ringan akibat terkena serpihan runtuhan tersebut dan operasi pasukan bomba telah tamat pada jam 7.34 petang.
Sementara itu, Prolintas memaklumkan kedua-dua pekerja warga Bangladesh itu telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.
“Insiden tidak membabitkan pengguna lebuh raya atau orang awam kerana ianya berlaku di dalam kawasan pembinaan yang bertutup.
“Pasukan Emergency Response Team (ERT) DASH telah berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan perancah besi yang terlibat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Perancah besi lebuh raya runtuh, dua cedera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!