Korridor Zangazur cipta perdamaian

Corridor Zangazur
Corridor Zangazur
A
A
A

PERANG Nagorno-Karabakh 2020 telah meletus pada 27 September 2020 antara Azerbaijan, Armenia dan Republik Artsakh. Konflik itu bukan baharu kerana ia lanjutan daripada Perang Nagorno-Karabakh Pertama (1988-1994). Malaysia telah memberi sokongan kepada Azerbaijan dalam menghadapi konflik Nagorno-Karabakh.

Malaysia menyokong empat Resolusi PBB (UNSC 822, 853, 874, 884) yang telah diterima Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menuntut agar pengunduran tentera Armenia tanpa syarat dari wilayah Azerbaijan.

Republik Artsakh adalah sebahagian daripada Azerbaijan yang terpisah akibat Perang Nagorno-Karabakh Pertama. Masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf Republik Artsakh, sebaliknya menganggap wilayah itu masih sebahagian Azerbaijan.

Justeru, Azerbaijan sentiasa berusaha untuk memperoleh semula wilayahnya yang terpisah sama ada melalui rundingan mahupun ketenteraan.

Persetujuan genjatan senjata telah dicapai antara Azerbaijan, Armenia dan Rusia. Presiden Rusia, Vladmir Putin; Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev dan Perdana Menteri Armenia, Nicole Pashinyan telah menandatangani perjanjian genjatan senjata.

Namun, ia tidak bermakna konflik Nagorno-Karabakh sudah berakhir. Oleh itu, antara usaha menggalakkan kerjasama dan mengurangkan ketegangan adalah Korridor Zangazur yang merupakan laluan pengangkutan menghubungkan Azerbaijan dengan wilayahnya, Nakhechivan Autonomous Republic yang terpisah oleh Armenia.

Korridor Zangazur atau dikenali Korridor Kaukasus kerana ia menghubungkan negara rantau Kaukasus dengan dunia luar. Namanya diambil sempena pergunungan Zangazur di barat daya Azerbaijan dan bersempadan Armenia.

Koridor yang dicadangkan ini merupakan jalinan kereta api dan pelabuhan yang akan melalui Belarus dan Rusia dari Eropah Timur, Turki, Georgia, Azerbaijan, Armenia, Iran dari Kaukusus dan seterusnya menyembarangi Laut Caspian ke Turkmenistan dan Kazakhstan di Asia Tengah, kemudian ke China di Asia Pasifik.

Artikel Berkaitan:

Maka tidak berketerlaluan untuk menyifatkan Korridor Zangazur jika menjadi realiti akan menyambungkan Timur dengan Barat, malah laluan terdekat menghubungkan Eropah dengan China.

Korridor Zangazur dijangka mampu menarik pelaburan dari China, khasnya dalam projek pembinaan laluan kereta api dan lebuh raya kerana membolehkan barangan eksport China dapat sampai ke Eropah lebih cepat.

Korridor Zangazur seiring dengan objektif projek Belt and Road Initiative China (BRI), selain mampu memperkukuhkan perpaduan negara-negara berbahasa Turkic seperti Uzbekistan dan Kazakhstan di Asia Tengah serta Azerbaijan.

Presiden Azerbaijan, Aliyev telah menegaskan bahawa kerajaannya berusaha merealisasikan Korridor Zangazur dan sanggup bekerjasama dengan Armenia. Ia diharap menjadi pemangkin kepada proses pendamaian antara Azerbaijan dan Armenia kerana kedua-dua musuh ketat boleh mengabaikan persengketaan politik serta mula menjalinkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan sosial. Korridor Zangazur mampu menjadi saluran diplomatik dan dialog langsung antara kerajaan Azerbaijan dan Armenia.

Kedua-dua negara harus fokus kepada faedah ekonomi yang dapat dinikmati bersama jika Korridor Zangazur menjadi realiti. Armenia telah dikenakan sekatan ekonomi akibat Perang Nagorno-Karabakh. Korridor Zangazur amat penting bagi Armenia kerana ia memberi peluang melepaskan diri daripada sekatan ekonomi dan isolasi.

Perang Nagorno-Karabakh telah mengakibatkan terlalu banyak nyawa terkorban dan harta musnah. Maka, tiba masa untuk Azerbaijan dan Armenia gunakan Korridor Zangazur sebagai saluran kedamaian, selain menikmati faedah kestabilan dan ekonomi.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!