Lemparan emas Connie gegar Kazakhstan
PELEMPAR cakera wanita negara, Connie Chu Kang Ni memenangi emas pada hari pembukaan Kejohanan Olahraga Qasanov di Almaty, Kazakhstan.
Atlet berusia 27 tahun itu memenangi pingat emas itu selepas melempar sejauh 43.65 meter (m) dalam percubaan akhirnya sementara Yuliana Shukina dari Uzbekistan (38.90m) dan wakil tuan rumah Alina Vorontsova (36.78m) masing-masing memperoleh perak dan gangsa.
Sementara itu, Jonathan Nyepa memperoleh perak dalam acara 100m dengan catatan masa 10.64 saat (s).
Wakil Kazakhstan Vitality Zems menjuarai acara riben biru itu dengan catatan masa 10.57s, sementara Ildar Akhmadiev dari Tajikistan membawa pulang gangsa.
Dalam 100m lompat pagar lelaki, Rayzam Shah Wan Sofian mendapat tempat ketiga daripada tiga peserta acara itu dengan catatan masa 14.18s.
Atlet lompat pagar tuan rumah, David Yefremov (13.66s) dan Yevgeniy Prokudin (13.84s) masing-masing berada di tempat pertama dan kedua.
Dua lagi atlet negara, Muhammad Ilham Suhaimi berada di tempat keempat dalam acara 400m lelaki dengan mancatatkan masa 48.47s dan atlet lompat tinggi Yap Sean Yee di tempat kelima dengan lompatan pada ketinggian 1.80m.
Dalam pada itu, pengurus pasukan, Datuk Wan Hisham Wan Salleh merasa gembira dengan prestasi atlet yang menyertai pertandingan di luar negara buat julung kali selepas lebih dari setahun tidak bertanding di luar negara akibat pandemik Covid-19.
"Selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan ketiadaan pertandingan antarabangsa mereka beraksi dengan baik. Mereka bertanding dengan diri sendiri dan untuk mengatasi pencapaian terbaik masing-masing.
"Bagaimanapun, saya bersimpati dengan atlet lompat jauh Andre Anura Anuar yang mengalami kecederaan hamstring dan terpaksa menarik diri daripada pertandingan hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!