'Tak perlu beli laptop tapi beli vaksin untuk pelajar'
KOTA KINABALU - Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan tindakan kerajaan membeli komputer riba untuk pelajar adalah satu pembaziran.
Sebaliknya beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berpandangan bahawa sepatutnya wang itu dibelanjakan bagi pembelian vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada pelajar dan guru supaya sekolah dapat dibuka semula.
"Beli vaksin untuk diberikan kepada guru, pensyarah dan semua pelajar,kemudian buka sekolah. Maka tidak perlu membazir duit untuk beli laptop.
"Kita beli harga berjuta-juta, kita tidak pernah belajar daripada kesilapan kita dulu. Saya masih ingat dulu ketika Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Pendidikan, kita beli komputer hingga RM700 juta, selepas itu kita tengok ke mana komputer ini yang diedar di kampung-kampung.
"Ketika itu, saya menteri kampung (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), saya lawat Sarawak, Sabah di pulau-pulau, lepas itu saya tanya guru besar kenapa komputer disimpan di bilik stor, mereka katakan tiada elektrik bagaimana komputer boleh digunakan," katanya dalam satu sesi bual bicara program bersama pemimpin yang berlangsung secara maya pada malam Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan moderator berhubung pemberian komputer riba kepada pelajar di negara ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, komputer riba tidak dapat digunakan oleh pelajar kerana masalah rangkaian internet terutama di kawasan pedalaman di Sabah.
"Laptop kalau diberi di Kota Marudu, Pitas, 'line' pun tidak ada. Jadi ke mana wang itu, ia hanya pembaziran.
"Baik kita gunakan wang itu untuk beli vaksin, lepas itu beri pelajar vaksin, suruh mereka ke sekolah, buka sekolah.
"Kemudian patuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup separuh muka, mandi dan sebagainya sebagai langkah pencegahan," katanya.
Katanya, apabila sekolah mula dibuka, ia akan memberi kesan sampingan yang lain terutama dari segi ekonomi.
"Bila sekolah dibuka, banyak kebaikannya, anak naik bas, anak beli nasi lemak, ekonomi akan baik dan kembali subur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!