Sertakan pelarian dalam program vaksinasi: Suhakam
SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berharap kerajaan tidak mengabaikan sesiapa sahaja di negara ini termasuk golongan pelarian dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Suhakam dalam kenyataan pada Ahad berkata, kerajaan perlu menegakkan prinsip tiada sesiapa yang ketinggalan dalam mendepani pandemik Covid-19 dengan menyediakan tempat pemberian vaksin yang selamat kepada pelarian.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan data Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Pelarian (UNHCR) di Malaysia sehingga Mei 2021, terdapat 179,570 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan 45,980 daripada jumlah itu adalah kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.
“Kerentanan masih berlaku kerana akses keperluan asas seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan perlindungan sosial belum diberi walaupun kepada pemegang kad UNHCR.
“Suhakam menekankan keperluan kerjasama antara UNHCR di Malaysia, agensi kerajaan dan organisasi masyarakat sivil untuk memastikan pelarian mendapat layanan dan perlindungan yang diperlukan,” kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan tersebut, di samping berjanji meneruskan usaha advokasi untuk penyertaan Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951 dan Protokol Pilihan 1967, Suhakam turut menyeru rakyat Malaysia memahami situasi buruk yang dihadapi golongan itu untuk mencari tempat berlindung sementara waktu demi keselamatan dan kelangsungan hidup.
“Rakyat harus melayan pelarian di negara ini dengan bermaruah dan diberi keperluan asas kerana pada akhirnya ia dapat membawa kita menuju ke arah masyarakat yang lebih berperikemanusiaan, adil, inklusif dan saksama,” tambah kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Suhakam menggesa kerajaan menerima pakai dasar perlindungan pelarian yang komprehensif, inklusif, tidak mendiskriminasikan dan berjangka panjang.
“Pada masa sama turut mengekalkan kepimpinan di peringkat antarabangsa dari segi mengukuhkan kerjasama komuniti serantau dan antarabangsa termasuk ASEAN, agensi Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi mengenal pasti penyelesaian menyeluruh terhadap isu pelarian yang sekian lama berlarutan di Asia Tenggara.
“Hari Pelarian Sedunia diraikan pada 20 Jun setiap tahun untuk memperingati dan memberi penghormatan atas kekuatan serta keberanian mereka yang terpaksa meninggalkan negara asal untuk menyelamatkan diri daripada konflik atau penganiayaan.
“Suhakam bersama-sama mendukung tema tahun ini 'Together we heal, learn and shine' yang mengingatkan kita dunia tidak akan dapat mengatasi Covid-19 sekiranya pelarian atau sesiapa jua diabaikan kerana tiada siapa yang selamat sehingga semuanya selamat,” jelas kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!