PETALING JAYA - Sudah beroperasi sejak enam bulan lalu dengan menawarkan kegiatan persundalan sebagai 'tarikan' untuk menarik pelanggan. Namun, kegiatan yang dilakukan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing di sebuah premis terletak di Dataran Sunway, di sini, akhirnya dibongkar Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, dalam serbuan malam tadi. Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, dalam serbuan kira-kira jam 11 malam, seramai 12 wanita membabitkan warga Vietnam, Thailand dan Indonesia telah ditahan. "Selain itu, seorang lelaki warga Bangladesh bertindak sebagai penjaga premis itu turut ditahan. "Pemeriksaan menjumpai sejumlah kondom yang disorokkan di dalam botol pencuci tandas selain disembunyikan di dalam tempat penyimpan air," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan. Mohd Khaizam berkata, siasatan mendapati premis ini beroperasi setiap hari bermula jam 1 petang sehingga jam 4 pagi. Mengulas lanjut, beliau mendedahkan, premis akan memberikan komisyen dengan bayaran tertentu kepada GRO bergantung kepada pakej yang diberikan dan bilangan pelanggan yang diterima. Mohd Khaizam berkata, kesemua wanita berkenaan dipercayai tinggal secara beramai-ramai di dalam dua buah bilik di premis itu yang telah diubah suai. Khaizam Ahmad berkata, kesemua suspek dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi tindakan selanjutnya manakala kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 35 Akta Kastam.