Aksi wheelie, remaja umur 12 tahun antara ditahan

Pelajar sekolah ditahan kerana menunggang motosikal secara merbahaya.
Pelajar sekolah ditahan kerana menunggang motosikal secara merbahaya.
A
A
A

KEPALA BATAS - Tiga pelajar sekolah ditahan selepas menunggang dan membonceng motosikal dalam keadaan berbahaya di Jalan Tok Keramat, Padang Cempedak di sini pada petang, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketiga-ketiga pelajar yang berusia antara 12 hingga 13 tahun itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan sepasukan polis bermula jam 4 petang hingga 8 malam.

Menurutnya, polis yang menjalankan operasi telah mengesan dua buah motosikal ditunggang pelajar sekolah dalam keadaan berbahaya.

"Ketika operasi, kita mendapati dua buah motosikal sedang melakukan aksi 'wheelie' dari Jalan Titi Keramat arah ke Taman Cempedak.

Polis kemudiannya menahan kedua-dua motosikal tersebut.

"Pemeriksaan mendapati, sebuah motosikal ditunggang seorang murid tahun enam dan dibonceng pelajar tingkatan satu manakala sebuah lagi ditunggang pelajar tingkatan satu," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pelajar sekolah tersebut mengakui menggunakan motosikal bapanya untuk melakukan aksi 'wheelie' sebelum ditahan.
Pelajar sekolah tersebut mengakui menggunakan motosikal bapanya untuk melakukan aksi 'wheelie' sebelum ditahan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua motosikal tersebut milik bapa kepada pelajar terbabit.

"Difahamkan, bapa kepada salah seorang daripada mereka tidak tahu motosikalnya telah digunakan oleh anaknya kerana sedang sakit.

"Kita menahan ketiga-tiga mereka untuk tindakan lanjut.

Saya meminta kepada semua ibu bapa agar sentiasa mengawasi anak mereka daripada membuat perkara yang menyalahi undang-undang terutamanya memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen yang sah.

"Saya juga ingin mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya khususnya golongan remaja agar tidak menjadikan Jalan Tok Keramat di Tasek Gelugor ini sebagai litar lumba," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!