PN gagal urus negara, Covid-19 memuncak dan ekonomi tenat
SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa kegagalan Perikatan Nasional (PN) menguruskan pandemik Covid-19 semakin memuncak apabila negara masih mencatatkan angka tinggi kes positif dan kematian akibat pandemik itu.
Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, negara juga berdepan dengan pelbagai krisis termasuk masalah kesihatan, kelemahan pentadbiran, demokrasi Parlimen dilumpuhkan serta tadbir urus yang cacamarba.
Katanya, permasalahan tersebut telah mengheret rakyat dan negara ke lembah krisis ekonomi, kepimpinan, pendidikan, keselamatan dan sebagainya.
“Kononnya, sekatan pergerakan penuh tetapi pintu belakang dibiarkan terbuka, sekadar membuli rakyat biasa dan membinasakan peniaga-peniaga kecil, sedangkan tauke-tauke besar dijaga rapi tanpa menghiraukan kluster tempat kerja yang terus meningkat.
“Bantuan yang diumumkan pula hanya sekadar manis di bibir, sedangkan menikus di sebalik perutusan khas dan pengumuman, kerana realiti di bawah amat perit sekali,” katanya pada Kongres Nasional Keadilan ke-15 yang diadakan secara maya pada Ahad.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, rakyat pada ketika ini berada dalam keadaan tertekan ekoran komitmen kewangan begitu tenat seterusnya menjurus ke arah masalah yang lebih besar.
Menurutnya, moratorium tanpa caj faedah sekurang-kurangnya untuk tempoh lima bulan perlu dilaksanakan bagi membantu peniaga kecil, kembalikan subsidi upah serta perkenalkan kemudahan pinjaman modal tanpa bebanan kerenah birokrasi.
“Jabatan Perangkaan melaporkan lebih 600,000 isi rumah kumpulan pertengahan (M40) sudah tergelincir ke kategori B40.
“Pengangguran menghampiri 1 juta orang, peniaga gulung tikar dan pendidikan anak-anak terjejas yang menjerumus ke arah keciciran generasi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!