UMNO nafi adakan Mesyuarat Biro Politik malam ini
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Kerja Ahli Majlis Kerja Tinggi UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan menafikan sebarang jemputan ke sidang media Mesyuarat Biro Politik UMNO malam ini.
Beliau berkata, Pejabat Setiausaha Agung UMNO tidak mengeluarkan sebarang jemputan kepada pihak media.
“Hari ini hari Ahad, memang tiada mesyuarat hari ini. Orang lain yang sebarkan (jemputan Mesyuarat Biro Politik),” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tular di sosial media pada sebelumnya, jemputan Liputan Media Mesyuarat tersebut yang dijangka diadakan di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur.
Pada masa sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut menafikan jemputan tersebut menerusi satu hantaran di Twitter.
Menurutnya, panggilan media tersebut merupakan berita palsu.
“Dalam seminggu ini sudah ada tiga berita palsu tentang UMNO.
“Konon Presiden pecat Datuk Seri Hishamuddin, konon Presiden panggil menteri UMNO dan konon ada jemputan media,” ujarnya.
Mesyuarat tersebut dikatakan bagi membincangkan langkah susulan selepas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu berpandangan Parlimen perlu bersidang secepat mungkin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!