Perak mohon perkenan Sultan Nazrin adakan sidang DUN
IPOH - Kerajaan Perak akan memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan menyembah maklum beberapa tarikh kepada baginda bagi mendapatkan perkenan memanggil sidang Dewan.
"Adalah difahamkan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad akan menyembah maklum bagi mendapatkan perkenan tarikh dan juga tempat mengadakan sidang DUN berkenaan.
"Selepas itu baru kerajaan negeri akan maklumkan kepada Pejabat DUN dan Speaker untuk mengeluarkan notis memanggil sidang Dewan," katanya.
Menurutnya, perkembangan perkara itu akan diketahui seawalnya minggu hadapan.
"Jadi kita tunggu minggu hadapan," katanya.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Abdul Aziz Bari akan mengadakan perbincangan bersama Mohammad Zahir berhubung pembukaan persidangan Dewan Negeri secepat mungkin.
Abdul Aziz berkata, ketika ini tiada masalah untuk Yang di-Pertua Dewan memanggil sidang DUN kerana perkara itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu pada Rabu lepas.
Dalam pada itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi bersetuju dengan usaha kerajaan negeri bagi mendapatkan perkenan baginda Sultan memanggil sidang Dewan dengan seberapa segera yang mungkin.
"Saya dan pimpinan Amanah negeri amat bersetuju dengan usaha ini. Sebelum ini saya telah melontarkan cadangan agar diadakan satu pertemuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tatkala berdepan pandemik Covid-19.
"Saya juga mencadangkan agenda membasmi Covid-19 dan pemulihan ekonomi akan dijadikan fokus perbincangan dalam sidang tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!