PSM perlu libatkan bekas pemain dalam agenda pembangunan sepak takraw

Laporan Sukan Sinar 8 Jun lalu. Gambar kecil: Syed Azmir
Laporan Sukan Sinar 8 Jun lalu. Gambar kecil: Syed Azmir
A
A
A

PENGLIBATAN secara langsung dalam kalangan bekas pemain sepak takraw bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) perlu dilihat antara elemen penting dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan sukan sepak takraw yang ketinggalan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah menurut bekas Ahli Majlis Tertinggi PSM, Syed Azmir Syed Ahmad berkata, penubuhan jawatankuasa khas dianggotai dalam kalangan bekas pemain sepak takraw negara sebagai antara entiti baharu dalam badan induk sepak takraw tersebut juga merupakan sesuatu yang relevan pada masa sekarang.

"Ya, saya tidak nafikan peranan sains sukan juga penting dalam meningkatkan prestasi semasa pemain tambahan pula kebanyakan negara kuasa sukan dunia meletakkan itu sebagai keutamaan dalam pembentukan atlet.

"Namun secara psikologinya, penglibatan bekas pemain ini secara tidak langsung dapat menambah baik sistem yang terdapat dalam badan induk sepak takraw negara tersebut terutamanya yang berkait rapat dengan pembangunan akar umbi sukan tradisi itu.

"Kita memiliki ramai bekas pemain kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa antaranya Adnan Saidin, Salim Yusof, Shaari Hashim, Ku Halim Ku Musa, Mohamad Noor Abdullah, Mohd Nasir Ismail, Iskandar Arshad, Rehan Md Din, Rosli Abdul Rahman, Nordin Sabarudin, Malek Shamsudin, Suhaimi Yusof, Zabidi Shariff, Futra Abdul Ghani, Rommi Suhendra dan ramai lagi, yang saya percaya mereka masih teruja untuk menyumbang idea dan pandangan bagi pembangunan sukan ini pada masa depan," kata Syed Azmir kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Malah Syed Azmir yang sebelum ini pernah menduduki kerusi pengerusi kejurulatihan PSM percaya, penglibatan dalam kalangan bekas pemain negara ini juga perlu dilihat sebagai pendekatan semak dan imbang terbaik bagi memantau setiap program pembangunan dirangka badan tersebut.

"PSM sebelum ini mungkin terlepas pandang bekas pemain selepas mereka tidak lagi mewakili negara, dan ini pada saya satu kerugian yang besar terhadap pembangunan dan usaha memajukan sukan sepak takraw negara

"Jadi kini tiba masanya pengalaman bekas bekas pemain tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu menyumbang kepada proses merangka program pembangunan akar umbi, mengenalpasti bakat, pemilihan pemain dan jurulatih.

Artikel Berkaitan:

"Selain memantau dan menilai perjalanan latihan skuad negara serta menyumbang idea memperbaiki kelemahan yang merencatkan pencapaian skuad negara.

"Saya percaya pembentukan entiti baharu dalam PSM ini, akan mendapat sokongan padu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mahu melihat semua pihak dalam komuniti sepak takraw bersatu dalam agenda mengembalikan semula kegemilangan sukan warisan negara ini," katanya yang yang juga Penasihat Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!