Pemuda UMNO persoal kerajaan teruskan kaedah separuh masak

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih membenarkan kilang-kilang dan syarikat-syarikat bukan keperluan atau 'essential' beroperasi meskipun kes baharu Covid-19 masih tinggi setelah 20 hari Sekatan Pergerakan Penuh dibuat.

Beliau berkata, kluster tempat kerja, kilang dan tapak pembinaan masih menjadi penyumbang tertinggi.

"Apakah kerajaan masih mahu meneruskan kaedah sekarang yang dianggap separuh masak? Rakyat diminta berkurung di rumah tanpa apa-apa bantuan, tapi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) masih membenarkan kilang-kilang dan syarikat-syarikat bukan 'essential’ beroperasi.

"Jika vaksinasi pun masih jauh daripada kadar untuk mencapai imunisasi kelompok, lebih baik perketatkan sektor ekonomi yang bukan 'essential'," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau menambah, sekiranya Sekatan Pergerakan Penuh masih berterusan tanpa bantuan tambahan, ia akan memberi kesan buruk kepada rakyat.

"Rakyat akan berterusan merana akibat sekatan pergerakan ini berlanjutan sedangkan ramai yang sudah pada paras terdesak dan tertekan memikirkan kelangsungan hidup tanpa bantuan tambahan.

"Tuntutan rakyat untuk moratorium automatik secara pukal tanpa caj tambahan, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0, diskaun bil-bil utiliti pun sampai sekarang sepi tanpa berita," katanya.

Pada Ahad, kes baharu Covid-19 mencatatkan 5,293 dengan Selangor kekal sebagai kes tertinggi iaitu 1,680.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!