PKR beri peluang wanita, anak muda menonjol
SHAH ALAM - Kekuatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ialah dalam memberi ruang kepada golongan wanita dan angkatan muda.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua golongan berkenaan sukar untuk ditonjolkan sekiranya dikongkong oleh kelompok yang sama.
“Kita boleh merangkul semua kekuatan. Dalam parti kita ada semua kaum, agama, wilayah dan pangkat. Tetapi itu tidak menjadi ukuran kedudukan dan mutu kepimpinan seseorang itu.
“Umur itu tiada masalah. Kalau orang itu layak, kita tonjolkan,” katanya ketika menggulung sesi perbahasan dalam Kongres Nasional Keadilan ke-15 yang berlangsung secara maya pada Ahad.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen berkata, tokoh-tokoh muda perlu diberikan kesempatan untuk menunjukkan kepimpinan mereka meskipun masih baharu.
“Antara masalah yang saya hadapi ialah tatkala kita memilih untuk menonjolkan tokoh-tokoh baharu dan muda.
“Tokoh-tokoh muda tentunya belum pernah menjadi ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang kanan kerana mereka baharu. Tetapi kalau mereka tidak diberikan ruang, ia menjadi masalah,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!