Tak perlu kaji, hantar notis terus bersidang, kata Najib
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan solusi bagi membolehkan Dewan Rakyat kembali bersidang tanpa perlu membentuk jawatankuasa mengkaji pembukaan Parlimen.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, tiada keperluan lagi untuk mengkaji kerana bukan kali pertama negara mengadakan persidangan Parlimen ketika pandemik Covid-19.
“Seolah-olah ini adalah kali pertama Parlimen akan bersidang. Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja titah untuk Parlimen bersidang secepat mungkin. Agong dan raja-raja tak titah untuk kamu bentuk Jawatankuasa kaji bagaimana Parlimen boleh bersidang.
“Tak perlu kaji lagi. Saya beri solusi. Langkah pertama, hantar notis kepada Speaker untuk suruh Parlimen bersidang. Langkah kedua, bersidang. Habis,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad memaklumkan sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang telah dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.
Mengulas mengenai kerisauan terhadap faktor keselamatan untuk mengadakan persidangan Parlimen, Najib secara sinis mencadangkan supaya pihak yang terbabit supaya melawat kilang dan kawasan di sektor yang dibenarkan beroperasi ketika ini.
“Jika masih tak pasti sama ada ia selamat bagi 220 orang bersidang dalam satu dewan besar, pergilah buat lawatan sambil belajar ke kilang elektronik, sarung tangan dan tapak pembinaan.
“Atau mana-mana 120,000 lebih syarikat yang dibenarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi dalam tempoh 'total lockdown' ini.
“Dah pun pernah banyak kali Parlimen bersidang tahun lepas masa Covid-19 cecah ribuan kes sehari walaupun masa itu seorang pun tak pernah terima satu titik vaksin.
"Sekarang, semua Ahli Parlimen dah selesai divaksin dua kali. Boleh ke sana ke sini kononnya,” ujarnya dalam hantaran berasingan.
ARTIKEL BERKAITAN: Jawatankuasa dibentuk teliti persidangan Parlimen: PM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!