Kisona tekad perbaiki 'pukulan'
PEMAIN perseorangan wanita negara, S.Kisona masih belum puas hati dengan persembahannya walaupun berjaya merangkul gelaran juara Kejohanan Badminton Antarabangsa Sepanyol 2021 di La Nucia semalam.
Pemain berumur 22 tahun itu sebaliknya telah mengenal pasti beberapa kelemahannya yang perlu diperbaiki, sebaik sahaja muncul juara selepas menewaskan rakan senegara yang juga juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei dengan ‘straight set’ 21-14, 21-19.
“Saya telah mengenal pasti kelemahan dalam perlawanan akhir, saya akan berbincang dengan jurulatih, Indra Widjaja dan Loh Wei Sheng bagaimana cara untuk tingkatkan prestasi pada masa akan datang,” katanya menerusi rakaman video yang disiarkan di laman Facebook Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Ahad.
Kisona turut mengambil kesempatan menyampaikan penghargaan kepada Indra dan Loh yang menurutnya sentiasa sabar dan meletakkan harapan tinggi terhadapnya dan dia bertekad untuk mempamerkan aksi yang lebih mantap di masa hadapan.
Kemenangan di Sepanyol adalah yang kejayaan kedua Kisona menewaskan Jin Wei, selepas melakukan kali pertama dalam Thailand Masters 2018.
Pencapaian terbaik Kisona sebelum Antarabangsa Sepanyol Spanish ini kejayaan beliau meraih pingat emas di Sukan SEA 2019 dalam acara perseorangan wanita.
Selain Kisona, turut meraikan kemenangan di Sepanyol adalah Tee Kai Wun yang muncul juara dalam kategori beregu campuran dan beregu lelaki.
Kai Wun meraih kemenangan pertama apabila beliau bersama pasangannya Teoh Mei Xing menumpaskan beregu campuran pilihan ketiga dari England Callum Hemming-Jessica Pugh dengan kemenangan 21-15, 13-21, 21-19.
Kai Wun kemudiannya meneruskan aksi cemerlang apabila bersama berpasangan dengan Man Wei Chong mengungguli acara beregu lelaki dengan menewaskan pasangan Lucas Corvee-Ronan Labar dari Perancis dengan 21-15, 21-18. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!