Pendidikan Islam sepanjang hayat

Pendidikan al-Quran seperti tahfiz dan pendidikan agama pada umumnya perlulah dibicarakan kembali secara serius.
Pendidikan al-Quran seperti tahfiz dan pendidikan agama pada umumnya perlulah dibicarakan kembali secara serius.
A
A
A

KITAB suci al-Quran menceritakan tentang kehidupan manusia dalam tiga fasa. Fasa pertama ialah kehidupan manusia dalam sejarah kurun-kurun dulu kala, ketika ALLAH SWT mengutus para Nabi dan Rasul dengan membawa kitab suci masing-masing.

Termasuk Nabi terakhir iaitu Muhammad SAW yang diutuskan kepada semua umat manusia dengan turunnya al-Quran sebagai panduan dan pedoman yang amat lengkap dan holistik.

Pendek kata, Islam mengajar manusia supaya menyedari amalan dan persiapan mereka kerana setelah fasa pertama berlalu dan menjelangnya fasa kedua di dunia ini, maka mereka akan memasuki fasa ketiga, ketika mereka di bangunkan pada hari akhirat nanti.

Kehidupan manusia pada zaman kini yang boleh kita kenali sebagai fasa kedua, penuh dengan aliran kehidupan moden yang banyak membawa cabaran terhadap keteguhan nilai dan adab hidup manusia, juga mencabar keimanan dan amal soleh serta perlaksanaan perintah yang baik, yang seharusnya menjadi perisai manusia dalam perjuangan kerana ALLAH SWT.

Kitab suci al-Quran merupakan kitab yang mengandungi segala panduan hidup dunia akhirat yang seharusnya di pelajari dan dihalusi dengan sebaik-baiknya.

Oleh itu bagi kita umat kini, pendidikan al-Quran seperti tahfiz dan pendidikan agama pada umumnya perlulah dibicarakan kembali secara serius, terutamanya untuk meyakinkan umat sendiri kepada pengajaran Islam yang di wahyukan melalui al-Quran dan pendidikan Nabi Muhammad SAW kepada manusia seluruhnya.

Kuasai

Islam mempunyai misi dan wadah yang amat lengkap sekiranya manusia benar-benar menguasai ilmu dari segi akidah, syariah dan akhlak mereka yang terbaik. Oleh itu, dalam usaha memahami Islam dengan selengkapnya maka saya rasa pihak kerajaan hendaklah mengenal pasti satu pasukan petugas khas di peringkat tinggi untuk mengkaji dasar pendidikan al-Quran dan agama Islam dan menyusun semula secara holistik.

Artikel Berkaitan:

Ketika Nabi ALLAH Ibrahim berdoa kepada ALLAH SWT supaya diutuskan seorang Rasul yang membawa misi dan visi yang amat konprenhesif untuk memimpin umat manusia yang amat sesat pada zaman jahiliyyah, maka baginda telah berdoa supaya ALLAH SWT utuskan seorang rasul dalam kalangan mereka sendiri untuk membaca ayat-ayat-NYA (al-Quran) dan mengajar mereka kandungan kitab al-Quran serta segala rahsia kebijaksanaan dan hikmahnya.

Di samping mensucikan hati nurani mereka itu, agar misinya benar-benar memberi kesan ke arah melahirkan generasi umat yang berkualiti. (Al-Baqarah ayat 129). Maka dengan itu ALLAH SWT memilih Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul kepada manusia seluruhnya.

Inilah sebenarnya cara mempelajari hikmah dan kebijaksanaan kitab suci al-Quran yang perlu distrukturkan semula pada hari ini dan yang perlu dikaji dengan sebaik-baiknya untuk menghasilkan generasi baharu yang dapat memahami dan menghayati segala penjelasan al-Quran bagi fasa-fasa kehidupan manusia yang penting ini.

Sebenarnya persiapan manusia untuk fasa kehidupan yang akan datang bukan hanya memperingatkan tentang segala balasan baik yang disebutkan ALLAH SWT untuk umat yang lalu, tetapi perhatian yang serius hendaklah ditumpukan kepada amalan kita dalam kehidupan dunia sekarang ini untuk hari yang akan datang.

Bukan hanya tentang ibadat dan akidah sahaja, tetapi tentang akhlak dan integriti umat manusia sesama manusia, menghasilkan generasi baharu yang bermutu, menggunakan segala kemewahan dunia, termasuk dalam ekonomi dan kebendaan, untuk menanam modal bagi mendapat balasan yang baik daripada ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT, “Kamu usahakanlah dengan segala sesuatu yang dikurniakan oleh ALLAH untuk mendapatkan segala kelebihan bagi hari akhirat, namun (untuk itu) janganlah melupakan keperluan kamu di dunia ini (untuk mendapatkan kebahagiaan) di akhirat nanti.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Inilah falsafahnya pembelajaran sepanjang hayat dalam konsep Islam, kerana hidup ini bukanlah untuk dunia semata-mata, tetapi kehidupan sepanjang hayat di dunia dan akhirat nanti yang merupakan kehidupan tiga fasa bagi manusia yang wajib dipercayai.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!