Ketepikan politik, bincang kepentingan rakyat
RABU lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan pelan pemulihan negara dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.
Rakyat bersetuju kerana dalam keadaan mencabar kini, titah Yang di-Pertuan Agong itu perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.
Namun begitu pembukaan Parlimen kelak tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi seperti hendak menjatuhkan kerajaan menerusi usul undi tidak percaya.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pernah mengingatkan bahawa Parlimen perlu menjadi satu perhimpunan yang membincangkan hal-hal melibatkan kepentingan negara dan bukannya satu kongres dipenuhi wakil rakyat dengan kepentingan sendiri dan saling bermusuhan.
Beliau menyentuh isu itu ketika berucap sebaik dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 pada tahun lalu.
Azhar Azizan berkata, majlis penggubalan undang-undang tertinggi negara itu sepatutnya membincangkan kepentingan menyeluruh untuk kepentingan bersama, yakni kepentingan negara dan 'di sinilah juga segala tindak tanduk kerajaan dapat dipersoalkan dan diperhalusi.'
Dalam keadaan Covid-19 yang masih tidak reda dan ekonomi yang tidak stabil, jangan ambil kesempatan menumbangkan kerajaan atau bermain politik kerana akan memburukkan lagi keadaan.
Semua parti sepatutnya menunggu sekurang-kurangnya sehingga ancaman Covid-19 berakhir atau sasaran imuniti kelompok dicapai jika mahu berlaku perubahan pada kerajaan.
Sebarang pergolakan politik akan menyebabkan negara terjerat dalam konflik yang menyebabkan tumpuan menangani pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi rakyat serta negara tersasar.
Soal politik sudah tidak penting bagi rakyat.
Lebih baik selesaikan dua masalah mendesak ini terlebih dulu dengan membincangkannya di Parlimen, manakala semua ahli Parlimen mengambil langkah konsensus membantu kerajaan.
Sudah tiba masa untuk semua pemimpin mengetepikan fahaman politik dan bersama-sama menyelesaikan permasalahan semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!