Hidup dihujani bola golf

Penduduk Kondominium The Address membuat bantahan ke atas kejadian bola golf yang memasuki kawasan kediaman mereka.
Penduduk Kondominium The Address membuat bantahan ke atas kejadian bola golf yang memasuki kawasan kediaman mereka.
A
A
A

GEORGETOWN- Hidup dihujani bola golf. Itulah situasi yang perlu ditempuh kira-kira 2,000 penduduk Kondominium The Address, Bukit Jambul di sini yang tinggal dalam kebimbangan kerana masalah tersebut.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Kondominium The Address, Ahmad Munawir Abdul Aziz berkata, penduduk di kondominium tersebut sering berada dalam kerisauan apabila setiap hari dihujani dengan bola golf yang jatuh ke kawasan kediaman mereka.

Menurutnya, puluhan bola golf berkenaan didapati datang dari sebuah kelab golf berdekatan.

"Setiap hari, kediaman kami dihujani bola golf dari kelab golf berdekatan dan lebih mengecewakan, bola-bola ini terkena tingkap rumah dan cermin kereta sehingga pecah. Dan kejadian terbaharu adalah pada awal bulan ini.

"Kejadian ini semakin serius sejak dua tahun lalu sehingga kini. Sejak itu, lebih 1,000 bola golf sudah dikutip penduduk. Bola-bola ini masuk dari kelab golf yang berjarak kurang 200 meter dari kediaman kami," katanya kepada media tadi.

Penduduk Kondominium The Address hidup dalam kebimbangan apabila dihujani bola golf dari kelab golf berhampiran.
Penduduk Kondominium The Address hidup dalam kebimbangan apabila dihujani bola golf dari kelab golf berhampiran.

Ketika sidang media berlangsung di kondominium berkenaan, kedengaran bola golf terkena pada besi di dalam kawasan padang kelab golf tersebut.

Ahmad Munawir berkata, bola golf berkenaan boleh melantun masuk ke kawasan kediaman mereka apabila terkena besi di kelab golf berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kami telah bertindak dengan membuat lebih 10 laporan polis berhubung ancaman keselamatan mereka akibat lantunan bola golf ini. Bukan setakat laporan polis, kami juga telah beberapa kali mengemukakan aduan kepada kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

"Laporan itu dibuat sejak beberapa tahun lalu namun sehingga kini tidak ada sebarang maklum balas atau tindakan diambil. Kami bimbang jika berlaku kecederaan pada penduduk akibat terkena bola golf ini. Takkan masa itu baru pihak berwajib mahu mengambil tindakan dan semestinya sudah terlambat," katanya.

Ahmad Munawir berkata, apa yang dikesalkan apabila pihak pengurusan kelab golf berkenaan seolah-olah mengambil sikap lepas tangan.

"Pihak pengurusan dilihat langsung tidak mempedulikan soal keselamatan dan nyawa penduduk kondominium berkenaan. Bola golf yang dipukul laju dan ia boleh membunuh sekiranya terkena penduduk.

"Tambahan pula, kami amat bimbang jika terkena kanak-kanak yang sering bermain di taman di dalam kawasan kediaman ini," katanya.

Tambahnya, dalam pertemuan sebelum ini, pengurusan kelab golf itu memberi alasan dengan mendakwa mereka terlebih dahulu beroperasi di kawasan berkenaan sebelum kediaman itu dibangunkan.

"Laporan kerosakan harta benda akibat terkena bola golf yang diajukan penduduk juga hanya diminta supaya dirujuk kepada pihak insurans. Kami hanya meminta mereka (pengurusan kelab golf) memikirkan soal keselamatan penduduk.

"Dan sekurang-kurangnya menaikkan semula jaring penghadang bola golf yang dipasang dahulu untuk mengelak bola golf jatuh ke kawasan kediaman kami. Jaring itu runtuh ketika kejadian banjir besar dua tahun lalu," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang mewakili penduduk kondominium itu merayu pihak berwajib agar membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut.

"Kami ingin hidup tenang di kediaman kami, tak mahu lagi hidup dalam ketakutan dan berisiko," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!