iGuru sokong pengambilan guru secara 'one off'
SEREMBAN - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menyambut baik pengambilan khas guru secara 'one-off' seramai 18,702 graduan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya melihat langkah ini dapat mengatasi isu lambakan graduan khususnya lepasan pendidikan institut pengajian tinggi awam (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan) dan mengisi kekurangan guru yang sedia ada bagi negeri-negeri tertentu seperti Sabah, Sarawak, Selangor serta Johor.
Menurut beliau, dalam hal ini, KPM perlu mengutamakan graduan yang memiliki ikhtisas pendidikan terutama dari lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) sebelum membuka kepada graduan bidang kritikal yang lain.
"Keutamaan memilih graduan pendidikan adalah untuk menjaga kualiti pendidikan dan memastikan mereka yang benar-benar layak serta mempunyai minat yang tinggi sebagai guru.
"Selain itu, pengambilan guru baharu itu juga perlu melihat kepada aspek jantina bagi memastikan kewajaran keseimbangan bilangan guru mengikut jantina," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Azizee berkata, i- Guru berharap langkah proaktif pihak KPM ini adalah usaha ke arah meningkatkan kualiti profesion perguruan dan menjadikan nisbah guru dan murid pada skala 1: 25 setanding dengan negara- negara maju.
ARTIKEL BERKAITAN: KPM buka pengambilan khas 18,702 guru gred DG41
Pada Ahad, Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuat pengambilan khas guru secara 'one-off' bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.
Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!