Tiada bukti kukuh pengguna vape lebih berisiko dijangkiti Covid-19
KUALA LUMPUR - Tidak ada bukti kukuh mengatakan rokok elektronik atau vape menyebabkan penggunanya lebih berisiko dalam jangkitan Covid-19 ataupun pengguna vape lebih mudah dijangkiti berbanding individu tidak merokok.
Kenyataan itu dikeluarkan berdasarkan satu kertas kerja berbentuk jurnal bertajuk ‘Covid/Vaping’ oleh Gabungan Penyokong Pengurangan Bahaya Tembakau Asia Pasifik (CAPHRA).
Kaji selidik tersebut mendapati tidak ada hubung kait klinikal yang membuktikan bahawa rokok elektronik atau vape menjadi salah satu punca jangkitan Covid-19.
Malah, jumlah pengguna vape yang direkodkan sebagai pesakit Covid-19 adalah sangat sedikit berbanding jumlah populasi.
Laporan CAPHRA yang diterbitkan pada Januari 2021 itu mendapati kajian perubatan di beberapa buah negara menunjukkan jumlah ketara peratusan perokok dijangkiti Covid-19 adalah sangat sedikit.
Menurut laporan tersebut, beberapa kajian membuktikan bahawa faktor yang meningkatkan risiko Covid-19 adalah umur, jantina, darah tinggi, obesiti dan diabetes.
"Tiada di dalam kajian tersebut menyenaraikan penggunaan vape sebagai salah satu faktor risiko,” kata laporan itu.
Sementara itu, Koordinator Eksekutif CAPHRA, Nancy Loucas berkata, tindakan mengatakan vape sebagai penyebab kepada jangkitan Covid-19 adalah satu salah faham.
“Tindakan ini seolah menyokong tabiat menghisap rokok tembakau dan menghalang mereka yang mahu berhenti merokok dengan memilih produk yang kurang mudarat,” katanya.
Laporan CAPHRA itu turut disokong beberapa lagi laporan yang dilakukan pakar dalam industri.
Antaranya pakar kardiologi, Dr. Konstantinos Farsalinos, melalui artikel bertajuk 'Smoking, vaping and the coronavirus (Covid-19) epidemic: rumors vs. evidence' yang mendapati bahawa tidak ada bukti langsung bahawa penggunakan e-rokok mempengaruhi jangkitan virus Covid-19.
Dalam satu laporan yang diterbitkan oleh Jurnal Kajian Perubatan Internet yang dibarisi penyelidik Dr Josep M Ramon-Torrell, Dr Sergio Morchon, Dr Fernando Aguero dan Dr Cristina Masuet-Aumatell MD, mendapati hanya 3.9 peratus pengguna rokok elektronik (daripada jumlah keseluruhan peserta kaji selidik yang positif) dijangkiti virus Covid-19.
Walaupun pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menegaskan bahawa menghisap vape memberi risiko kepada kebolehjangkitan Covid-19, namun tidak ada pihak yang tampil mengemukakan sebarang bukti dalam bentuk kajian saintifik.
Malah, WHO juga telah mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa sehingga kini tiada bukti yang mengaitkan vape dan juga jangkitan Covid-19.
“Buat masa ini, tidak ada bukti bagi menghubungkan penggunaan e-rokok dengan Covid-19. Lebih banyak kajian perlu dilakukan,” kata WHO dalam satu kemas kini ringkasan ilmiah yang diterbitkan pada 30 Jun 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!