Suami maut, rumah ditimpa runtuhan batu

Penduduk kampung menunjukkan lokasi kejadian mangsa terperangkap dalam runtuhan batu di Kampung Pinousuk, Kundasang, Ranau.
Penduduk kampung menunjukkan lokasi kejadian mangsa terperangkap dalam runtuhan batu di Kampung Pinousuk, Kundasang, Ranau.
A
A
A

RANAU - Seorang lelaki maut selepas ditimpa runtuhan batu yang berlaku di bahagian dapur rumahnya dalam kejadian di Kampung Pinousuk, Kundasang di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Junaidi Gangka, 55, dikatakan sedang berehat bersama isterinya di dapur rumah berkenaan.

Isteri mangsa sempat melarikan diri bersama anak-anak mereka, manakala mangsa pula terperangkap dalam rumah terbabit.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan beberapa pekebun berhampiran lokasi kejadian.

"Mangsa terus dibawa ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik tiba di hospital.

"Dalam kejadian itu, isteri mangsa dan dua anak mereka berusia enam tahun dan 18 tahun yang turut berada di dalam rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Katanya lagi, siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

"Polis sudah melawat lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan memberi amaran kemungkinan kejadian runtuhan mungkin berulang.

Artikel Berkaitan:

"Penduduk dinasihatkan supaya berwaspada disebabkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!