Banyak cabaran namun imuniti kelompok masih boleh dicapai

Malaysia meletakkan sasaran mencapai vaksinasi sehingga 80 peratus populasi atau sekitar 24 juta menjelang Februari 2022. - Gambar hiasan
Malaysia meletakkan sasaran mencapai vaksinasi sehingga 80 peratus populasi atau sekitar 24 juta menjelang Februari 2022. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketika pandemik Covid-19 masih menghantui dunia, imuniti kelompok dilihat sebagai penyelamat untuk mengekang penularan koronavirus maut ini dan diharap dapat memberi kebebasan untuk kembali kepada kehidupan normal.

Malaysia yang sebelum ini menyasarkan populasi seperti warga tua dan orang kurang upaya (OKU) memutuskan untuk fokus kepada imuniti kelompok selepas beberapa minggu pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)

Namun, banyak halangan yang perlu ditangani termasuk keengganan sesetengah orang untuk mengambil vaksin serta kemungkinan mutasi koronavirus membuatkan vaksinasi sebagai sia-sia.

Sebagai mana Malaysia berjaya menangani cabaran ini akan menentukan setakat mana penduduk di negara ini dapat menjalani kehidupan normal

Sebelum itu, apa yang dimaksudkan dengan imuniti kelompok? Mengapa kita memerlukannya?

Ahli jawatankuasa eksekutif, Kempen Medical Mythbusters’ Strategic Planning Vaccination, Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim mengibaratkan imuniti kelompok sebagai satu set payung.

Beliau menggambarkan, mereka yang menerima vaksin, atau dijangkiti dan pulih kemudiannya, sebagai orang yang memakai payung.

Koronavirus itu adalah hujan.

Artikel Berkaitan:

“Jika jumlah orang yang secukupnya membuka payung mereka, tak perlu semua orang... tetapi semua akan dilindungi daripada dibasahi hujan.

“Dalam perkataan lain, sekiranya kita mencapai ambang tertentu imuniti dalam komuniti, sebagai contoh, 70 hingga 80 peratus populasi divaksinasi, perlindungan ini boleh merangkumi 100 peratus komuniti, ” tambahnya.

Bagaimanapun, untuk sampai ke ambang berkenaan perlu menempuh pelbagai kesukaran.

Malaysia meletakkan sasaran mencapai vaksinasi sehingga 80 peratus populasi atau sekitar 24 juta menjelang Februari 2022.

Ini bermakna hampir semua ornag dewasa dan kanak-kanak di atas umur 12 tahun di negara ini perlu divaksinasi.

Sasaran ini nampak seperti cita-cita besar. Apakah imuniti kelompok ini hanya satu impian?

Pakar kesihatan positif ianya boleh dicapai dan Malaysia akan dapat mencapai imuniti kelompok tetapi persoalannya ialah BILA?

Boleh capai sasaran

Menurut pakar perubatan kesihatan awam di Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Rafdzah Ahmad Zaki vaksinasi perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi menjamin imuniti kelompok bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

"Imuniti kelompok bergantung kepada peratus populasi yang sudah divaksinasi. Lagi cepat kita capai liputan tertinggi, lagi pantas kita capai imuniti.

Jadi ia bergantung kepada jumlah vaksin yang ada serta proses pengedaran, ” katanya.

Di sebalik beberapa masalah di peringkat awal, Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk mengatasi tarikh akhir Februari 2022. Untuk 7 Jun hingga 13 Jun, purata lebih 130,000 dos vaksin diberi setiap hari.

Ia mencapai rekod 215,876 suntikan pada 15 Jun dan dilihat dapat mencapai sasaran purata harian 300,000 menjelang hujung Ogos 2021.

Penghantaran dua dos vaksin Pfizer/BioNTech, AstraZeneca/Oxford University dan SinoVac mencukupi untuk memberi dos penuh kepada lebih 100 peratus populasi, kini lebih konsisten. Malaysia juga merancang untuk membeli vaksin satu dos vaksin CanSino dan Johnson&Johnson (J&J).

Dalam masa yang sama, terdapat kerisauan kadar pendaftaran vaksinasi (59.1 peratus setakat 15 Jun, hampir lima bulan selepas PICK dilancarkan), mungkin berpunca daripada keengganan sesetengah orang untuk divaksin.

Perkara ini mendapat perhatian berat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru-baru ini menyuarakan idea menjadikan vaksinasi sebagai mandatori.

Bagaimanapun, jika dilihat daripada sambutan orang ramai untuk divaksinasi, kadar pendaftaran yang dibangkitkan tadi mungkin tidak tepat.

Menurut kajian global oleh National Library of Medicine National Institutes of Health, Amerika Syarikat, Malaysia adalah antara negara yang mencatat kadar penerimaan vaksin COVID-19 tertinggi di dunia iaitu 94.3 peratus.

Kebimbangan mengenai Covid-19 dalam kalangan anggaran 74 peratus rakyat Malaysia oleh IPSOS mungkin juga sebab mencetuskan minat untuk vaksinasi.

Contohnya, program pemilihan vaksin AstraZeneca/Oxford University yang mendapat sambutan hangat, di sebalik laporan berlaku darah beku dalam kalangan mereka yang mengambil vaksin ini.

Sekiranya dapatan kajian ini benar, besar kemungkinan Malaysia dapat mencapai sasaran imuniti kelompok, jika pun ada golongan yang enggan untuk divaksinasi.

Cabaran utama

Isu yang perlu diberi perhatian dan dianggap cabaran terbesar ialah akses kepada vaksin.

Untuk menangani perkara, kerajaan membuka lebih banyak lapangan untuk vaksinasi di kawasan bandar di samping menggunakan pusat komuniti, kesihatan dan agama.

Ribuan diberi vaksin termasuk menerusi kaedah pandu lalu dan unit bergerak.

Dalam masa yang sama, sesetengah komuniti di Malaysia diancam kemungkinan diketepikan.

Memandangkan kebanyakan vaksin Covid-19 memerlukan suntikan dua dos, komuniti yang sukar dijangkau seperti migran dan orang asli.

Vaksin satu dos yang baru-baru ini diluluskan kerajaan, dilihat dapat membantu proses vaksinasi untuk mereka di kawasan pedalaman, tetapi migran yang tidak mempunyai dokumen, pelarian dan golongan tidak bernegara, mungkin tidak dapat tampil untuk divaksin kerana risiko ditangkap.

Menteri Penyelaras Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF), Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini memberi jaminan perlindungan untuk mana-mana migran yang tampil untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Menurut beliau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi antarabangsa membantu kerajaan Malaysia untuk usaha berkenaan.

Bagaimanapun, kenyataan terkini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mencetuskan persoalan.

Beliau beberapa kali mengumumkan gerakan besar-besaran untuk menahan migran yang tidak mempunyai dokumen. Beliau turut berkata migran yang tidak mempunyai dokumen mesti menyerah diri untuk divaksin.

Kenyataan ini tidak disenangi beberapa pemimpin tempatan, NGO dan pakar kesihatan awam.

Ketua Misi, International Organisation for Migration (IOM), Kendra Rinas memberitahu Bernama perlu wujud persekitaran yang selamat untuk migran mendapatkan suntikan vaksin.

"IOM, sebagai sebahagian daripada UN dan dalam penyeliaan dengan NG) lain serta kerajaan, bersedia untuk membantu vaksinasi bagi migran, tetapi mereka enggan tampil kerana bimbang ditangkap, ditahan dan diusir," kata beliau menerusi WhatsApp.

Presiden Persatuan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar bersetuju dengan kenyataan itu dan menambah, “Perkara penting adalah untuk melindungi golongan ini di samping melindungi orang awam.

Yang penting bagi suntikan, sama ada mereka ini pendatang haram atau tidak.”

Aktivis dan pakar kesihatan awam juga berharap vaksin satu dos yang diluluskan baru-baru ini boleh mengurangkan karenah birokrasi dan menjadikannya mudah untuk memberi vaksin kepada migran.

Dr Zainal berkata, kerajaan perlu menyediakan vaksin berkenaan untuk NGO yang bersedia memberi vaksinasi kepada komuniti migran.

Cabaran varian baharu

Halangan utama yang mungkin menjadikan sukar untuk Malaysia mencapai imuniti kelompok ialah kemunculan varian baharu yang mungkin mampu mengelakkan daripada perlindungan vaksin.

Menurut Dr Rafdzah, risikonya timbul sekiranya vaksinasi lewat diberi atau sekiranya tidak cukup jumlah yang menerima suntikan vaksin.

“Jika kita melengahkan proses ini, jangkitan akan bertambah.

Jika banyak jangkitan, lebih banyak ada varian baharu. Mungkin tiba ketika, vaksin tidak berkesan ke atas varian baharu, menyebabkan sasaran mencapai imuniti kelompok mengambil masa yang lebih panjang, kerana kita perlu mencari vaksin baharu,” katanya.

Jika pun Malaysia mencapai sasaran vaksinasi menjelang hujung tahun ini, mungkin ini tidak mencukupi untuk mengatasi kadar mutasi koronavirus.

Kita boleh lihat negara lain sedang bergelut untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi untuk rakyat mereka.

Varian Delta, yang sebelum ini dikenali sebagai varian India, semakin menjadi strain dominan di seluruh dunia kerana kadar jangkitan yang tinggi.

Dilaporkan, ia juga boleh mengelakkan daripada perlindungan sesetengah antibodi, yang bermakna suntikan vaksin kurang berkesan untuk menghalang jangkitan dan transmisi berbanding strain terdahulu.

Namun, tidaklah bermakna tidak perlu mengambil vaksin.

Ahli virologi molekular, Dr Vinod Balasubramaniam dari School of Medicine, Monash University Malaysia berkata, varian baharu menjadikan vaksinasi sebagai amat penting untuk mencegah kematian.

Di UK, kebanyakan kematian berkait dengan strain berkenaan melibatkan juga mereka yang tidak divaksin.

"Virus ini sukar untuk menjangkiti dan hidup serta menjangkiti dari seorang kepada seorang yang lain sekiranya orang itu sudah divaksin,” katanya.

Vaksin untuk kanak-kanak

Kerajaan Malaysia baru-baru ini meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk individu berumur 12 tahun dan ke atas.

Langkah ini meningkatkan peluang untuk negara ini mencapai sasaran imuniti kelompok.

“Memberi vaksin kepada populasi lebih muda sudah tentu membantu mencapai imuniti kelompok.

Mereka yang berusia 18 tahun ke atas mewakili hanya kira-kira 70 peratus populasi Malaysia.

Kita tak mungkin mencapai imuniti kelompok jika hanya fokus kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas sahaja,” kata Dr Rafdzah.

Bagaimanapun, dalam soal kembali kepada kehidupan normal sebelum Covid-19 meskipun negara mencapai sasaran imuniti kelompok, ia seakan sukar dicapai.

Sebahagian besarnya kerana vaksin melindungi jangkitan yang teruk serta kematian.

Walaupun sudah divaksin, seseorang itu masih boleh dijangkiti dan menjangkiti orang lain. Ahli sains tidak pasti berapa lama vaksin dapat memberi perlindungan.

Terdapat juga isu kadar vaksinasi yang tidak sama rata di peringkat dunia.

Menurut Dr Amirul, sehingga dunia mencapai paras perlindungan yang sama, akan terus berlaku wabak Covid-19, terutama di kawasan kampung yang komunitinya mungkin tidak semua divaksin.

“Apabila kita bercakap tentang imuniti kelompok, kita bukan bercakap tang penghapusan sepenuhnya virus. Ini sukar dicapai, “katanya.

Menurut Dr Zainal, "Kita tak boleh harap normal tetapi hampir normal.

Untuk sesetengah kumpulan, yang divaksin dan orang muda yang sihat, mereka boleh ke sana ke sini tetapi kumpulan paling berisiko dijangkiti, mereka masih perlu berhati-hati dengan tempat awam dan patuh kepada SOP."

Bagaimanapun, ini tidak bermakna setiap orang akan berada dalam sekatan pergerakan selama-lamanya.

Pakar bersetuju kehidupan hampir normal dapat dijalani sebelum negara mencapai angka 80 peratus divaksin.

Seakan kehidupan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan tahun 2020 yang mana rentas negeri, perhimpunan kecil dan kebanyakan aktiviti sosial dibenarkan, dengan beberapa sekatan.

Menurut mereka, sebarang penarikan sekatan bergantung kepada jumlah peratus yang divaksin dan bukan jumlah kes, dengan meletakkannya kepada kadar 50 peratus mendapat dos penuh.

Itu pun, kehidupan tidak akan kembali kepada tahap sebelum Covid-19.

Dr Vinod menjangka koronavirus akan terus bermutasi, dan bertukar kepada sesuatu yang seakan selesema bermusim, yang masih boleh meragut nyawa mereka yang lemah. Untuk itu, suntikan vaksin tahunan mungkin perlu sebagai perlindungan kepada varian baharu.

“Bagi saya koronavirus ini akan kekal bersama kita.

Matlamatnya supaya virus ini tidak membunuh orang yang dijangkitinya dengan serta-merta, ” tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!