Tiga pekerja kilang sesak nafas dalam kebakaran
GEORGETOWN - Tiga wanita yang bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas, dekat sini mengalami sesak nafas selepas bahagian bumbung kilang itu terbakar, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.10 pagi dan sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran berkenaan.
"Semasa kebakaran itu, tiga pekerja wanita berkenaan sedang bekerja di kilang penghasilan produk berasaskan solar tersebut.
"Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian kebakaran, ia sudah berjaya dipadamkan menggunakan alat pemancar air automatik yang terdapat di kilang berkenaan," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya siasatan lanjut mendapati kebakaran itu melibatkan bahagian siling bangunan kilang berkenaan pada keluasan kira-kira 10 meter persegi yang musnah terbakar hampir 50 peratus.
"Kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya manakala tiga pekerja wanita yang mengalami sesak nafas akibat asap tebal dikejarkan ke hospital dan dilaporkan stabil," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!