Ikan ternakan diberi makanan berasaskan babi kes terpencil
PUTRAJAYA - Pendedahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa terdapat ikan ternakan yang diberikan makanan berasaskan babi adalah kes terpencil, kata Jabatan Perikanan (DOF).
Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya melaksanakan pemantauan halal secara berkala terhadap ikan dan hasilan ikan sejak tahun 2010 bagi mengesan kehadiran Asid Deoksiri bonukleik (DNA) Porsin (Porcine ID) ke atas produk perikanan seluruh negara termasuk ikan, makanan ikan dan tepung ikan.
Menurutnya sejak tahun 2016 sehingga 2018, sebanyak 846 sampel telah diambil dan hanya 4.9 peratus yang dikesan positif mengandungi DNA Porsin iaitu daripada makanan ikan.
"Bagi menangani masalah tersebut, syarikat pembekal makanan ikan berkenaan telah diambil tindakan serta-merta dengan menukarkan ramuan utama (protein) kepada sumber yang halal," katanya.
DOF berkata, Peraturan Pelabelan di bawah Akta Makanan Haiwan 2009 juga secara jelas mengkehendaki setiap pengeluar makanan ternakan untuk melabelkan kandungan ramuan di dalam makanan ternakan yang mereka keluarkan.
Menurut DOF kegagalan mematuhi ataupun menipu kandungan ramuan di bawah peraturan berkenaan boleh dikenakan tindakan keras.
"Sehingga kini, sebanyak 390 penternak ikan telah dipersijilkan di bawah Skim Pensijilan Pertanian Akuakultur (myGAP-Akuakultur) manakala 17 kilang makanan ikan dan 12 stor penyimpanan makanan ikan turut dipersijilkan di bawah skim Pensijilan Kualiti Ikan," katanya.
Dalam pada itu, katanya perbincangan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah memutuskan bahawa isu halal hanyalah dihadkan kepada barangan makanan dan barangan kegunaan peribadi sahaja dan tidak dikembangkan ke atas haiwan kerana hukum halal dan larangan haram hanya terpakai kepada manusia sahaja.
"Penyelidikan yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Batu Maung mendapati ikan yang diberikan makanan tidak halal berupaya menyucikan badan 72 jam setelah melalui proses istihala (pengasingan – tidak diberikan makan)," jelasnya.
Dalam satu kenyataan berasingan, DOF mencadangkan pindaan dibuat terhadap Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) di peringkat negeri supaya aktiviti pelepasan spesies ikan eksotik (asing) dapat dikawal dan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Mengulas mengenai kebanjiran ikan baung ekor merah di Sungai Pahang yang dilaporkan media baru-baru ini, DOF berkata ternakan ikan itu tidak digalakkan memandangkan banyak spesies tempatan lain yang mendapat permintaan tinggi seperti baung, patin dan kelah.
Menurutnya ikan baung ekor merah atau nama saintifiknya 'hemibagrus wyckioides' merupakan ikan pemangsa yang disenaraikan dalam 32 spesies ikan yang tidak dibenarkan dilepaskan dalam sungai, empangan, tasik dan lombong di negara ini.
Katanya ikan yang berasal dari Sungai Mekong, Vietnam itu akan mengganggu ekosistem sekiranya berada dan membiak dalam perairan umum.
"Ikan ini mempunyai sifat agresif memakan pelbagai hidupan dalam air termasuk anak ikan dan udang, saiz matangnya mencapai berat puluhan kilogram. Perbezaan ikan tersebut hanya pada ekor iaitu berwarna merah," katanya.
Susulan itu, DOF akan memantau dan mengawasi industri ternakan ikan baung ekor merah di Pahang supaya setiap penternak mematuhi cadangan dan peraturan ditetapkan terutama membabitkan ternakan dalam sangkar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!