Empat PPV lagi di bawah PIKAS diluluskan di Pulau Pinang

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak empat buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) lagi diluluskan di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Pulau Pinang.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan PIKAS yang bakal beroperasi di Pulau Pinang adalah enam buah dalam usaha merancakkan proses imunisasi membabitkan sektor industri dan perkilangan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pada waktu ini, Pulau Pinang hanya mempunyai sebuah PIKAS di Bukit Jawi Golf Resort yang mula beroperasi pada 16 Jun lalu.

Menurutnya, Hotel Equatorial pula akan mula beroperasi sebagai PIKAS kedua di negeri ini pada 28 Jun ini.

"Selepas Bukit Jawi Golf Resort dan Hotel Equatorial, terdapat empat lagi PPV di bawah PIKAS akan dibuka di Pulau Pinang.

"Ia membabitkan syarikat multinasional di Bayan Lepas iaitu Intel Technology Sdn Bhd; Jabil Circuits Sdn Bhd; Plexus Manufacturing Sdn Bhd dan dan Inari Amerton Berhad, bertempat di Batu Kawan. Ia menjadikan jumlah keseluruhan PPV di bawah PIKAS yang akan beroperasi di Pulau Pinang adalah enam buah.

"Semua PPV berkenaan akan terus beroperasi termasuk memberi perkhidmatan kepada kakitangan syarikat-syarikat lain sehingga dilaksanakan sepenuhnya membabitkan sektor berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kon Yeow berkata, data dari Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menunjukkan perebakan jangkitan di tempat kerja masih mencatatkan jumlah tertinggi.

Artikel Berkaitan:

"Ia membabitkan 27 kluster kilang dan tiga bukan kilang; dua di tapak bina; komuniti (2); pusat tahanan (1) dan keagamaan (1). Kerajaan negeri menggunakan pelbagai pendekatan termasuk 'outreach' ke organisasi serta lokaliti-lokaliti bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir.

"Sehingga semalam, data JKNPP menunjukkan sebanyak 93 pusat jagaan warga emas dikunjungi di bawah inisiatif tersebut dan seramai 3,513 penghuni serta penjaga menerima suntikan vaksin," katanya.

Katanya, dalam aspek penguatkuasaan, sebanyak 101 kilang diarahkan tutup susulan laporan jangkitan Covid-19 sepanjang tempoh dari Januari hingga semalam (Ahad).

"Daripada jumlah itu, 45 buah kilang di daerah Seberang Perai Tengah; Barat Daya (36); Seberang Perai Selatan (14) dan masing-masing tiga buah di Seberang Perai Utara dan Timur Laut.

"Badan penguatkuasa masih meneruskan operasi tindakan dari masa ke semasa termasuk mengenal pasti kilang-kilang yang bertindak menipu serta menyembunyikan fakta sebenar," katanya.

Dalam pada itu Kon Yeow berkata, data Polis Pulau Pinang juga menunjukkan bagi tempoh Januari hingga Mei lalu, sebanyak 19 kes cubaan bunuh diri dilaporkan di negeri ini manakala 53 laporan kes bunuh diri diterima.

Tambah beliau, peningkatan perangkaan berkaitan akan diberi perhatian khusus oleh JKNPP yang mana aspek penekanan kesihatan mental perlu diberikan sewajarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!