Duit hasil niaga RM3,750 dikebas pembuat roti nan

Ahmad Adnan
Ahmad Adnan
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang pemilik restoran di Taman Perwira, Langkap di sini kerugian RM3,750 selepas wang hasil perniagaannya disyaki dilarikan seorang warga Pakistan yang bekerja sebagai pembuat roti nan, pada Ahad.

Kejadian itu disedari mangsa yang berusia 44 tahun selepas mendapati wang dalam laci kaunter telah lesap kira-kira jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa turut menyedari suspek berusia lingkungan 30-an itu hilang apabila pemeriksaan di hostel mendapati baju dan beg pakaian miliknya tiada.

"Suspek yang bekerja sebagai pembuat roti nan dipercayai mengambil wang tersebut dengan membuka laci kaunter menggunakan kunci yang disimpannya atas almari.

"Laci kaunter tersebut hanya diuruskan oleh mangsa dan seorang pekerja. Kunci itu disimpan selepas habis berniaga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, wang tersebut adalah hasil berniaga selama seminggu dan dijadikan wang pertukaran.

"Siasatan mendapati suspek bekerja di restorannya lebih kurang dua bulan lalu selepas diperkenalkan oleh pak ciknya.

"Suspek tinggal di hostel bahagian atas restoran berkenaan bersama dua pekerja lain. Mangsa tidak menyimpan sebarang salinan berkaitan suspek dan hanya memiliki gambar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Adnan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek tinggal dan bekerja dalam negara tanpa dokumen sah.

"Usaha mendapatkan butiran diri dan mengesan suspek sedang giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!