Suami isteri didakwa menipu, sembunyi wang hasil penipuan
MELAKA - Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan menawarkan barangan dialisis tidak wujud dan menyembunyikan wang hasil penipuan.
Kedua-dua tertuduh, Zanariah Apit, 50, dan suaminya Saifuddin Mohamad, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.
Berdasarkan pertuduhan, Zanariah didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 62 tahun dengan menawarkan barangan dialisis yang tidak wujud hingga mendorong mangsa menyerahkan cek bernilai RM49,200.
Perbuatan itu dilakukan Taman Peringgit Jaya, kira- kira jam 9 pagi hingga 5 petang pada 11 Februari tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Saifuddin didakwa menyembunyikan sesuatu harta melalui akaun bank miliknya iaitu wang hasil penipuan penjualan barangan dialisis tidak wujud berjumlah RM49,200 ketika berada di Maybank Jalan Hang Tuah pada 11 Februari tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua- duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilalif Mohd Rosli yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 diberikan kepada kedua-dua tertuduh.
Tertuduh yang diwakili Peguam Bela, Jefri Jaafar memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan pasangan itu mempunyai empat orang anak.
Mahkamah kemudian membenarkan Zanariah diikat jamin RM5,000 manakala Saifuddin sebanyak RM4,000 selain menetapkan tarikh sebutan semula serta serahan dokumen pada 16 Ogos depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!