Polis cari YouTuber hina menteri
KOTA KINABALU - Polis sedang mengesan seorang YouTuber bagi membantu siasatan berhubung sebuah video bertajuk 'Sabah Must Watch! Biopolitik Tokoh Rasis Pemecah Perpaduan Sabah' yang dimuat naik di YouTube.
Lelaki terbabit didakwa turut mengeluarkan ucapan menuduh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan sebagai rasis, memiliki ijazah kedoktoran yang meragukan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan dilakukan selepas satu laporan polis yang diterima.
"Siasatan awal mendapati rakaman berkenaan memaparkan ucapan provokasi terhadap Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah.
"YouTuber itu mengaku sebagai wakil suku kaum Bajau Suluk," katanya ketika ditemui pada Isnin.
Sehubungan itu, Mohd Zaidi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu itu memaklumkan kepada polis untuk tindakan segera atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor P Palaninathan di talian 016-4122835 atau 088-529222.
Sebelum itu, semakan polis dalam YouTube mendapati video berdurasi 11 minit 36 saat itu dipercayai dimuat naik menerusi saluran Malaysian Respond dan ditonton oleh 2,502 penonton.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!