England 'kalis' kritikan

Barisan pemain England giat menjalani latihan sebagai persediaan berdepan Republik Czech pada aksi terakhir Kumpulan D Euro 2020 di Stadium Wembley pada awal pagi Rabu.
Barisan pemain England giat menjalani latihan sebagai persediaan berdepan Republik Czech pada aksi terakhir Kumpulan D Euro 2020 di Stadium Wembley pada awal pagi Rabu.
A
A
A

ENGLAND tidak mahu mengambil peduli 'bunyi bising' dari luar kem skuad The Three Lions itu berikutan keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan Scotland dalam aksi kedua Kumpulan D Euro 2020 di Stadium Wembley sebelum ini.

Sebaliknya, penyerang England, Raheem Sterling berkata, mereka kini lebih menumpukan persediaan bagi menghadapi Republik Czech dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Wembley pada awal pagi Rabu ini.

"Saya percaya masih terdapat lagi ramai pihak di luar sana yang terbawa-bawa dengan emosi selepas perlawanan menentang Scotland tempoh hari. Situasi panik di luar sana nampaknya lebih tinggi berbanding situasi dalam kalangan pemain.

"Sejujurnya, saya tidak melihat sebarang perasaan tertekan dalam kalangan pemain berikutan situasi itu. Sebaliknya kami akan menggunakan tempoh masa sekarang memperbaiki gaya permainan untuk perlawanan menentang Republik Czech.

"Sebenarnya sebagai pemain perlu ada suatu masa untuk kami tidak perlu mengambil peduli atau kisah apa yang diperkatakan oleh pihak media, pengkritik, pengulas atau penyokong.

"Kesemua perkara yang diperkatakan itu perlu ditolak tepi demi memastikan perjalanan kami pada saingan Euro kali ini tidak terkesan dengan komen-komen yang tidak membina," katanya.

England terlebih dulu memulakan kempen Euro 2020 dengan kemenangan 1-0 ke atas finalis Piala Dunia 2018, Croatia sebelum diikat tanpa jaringan menentang Scotland.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad kendalian Gareth Southgate itu kini berada pada kedudukan kedua di belakang Republik Czech setelah kedua-dua pasukan berkongsi empat mata.

Artikel Berkaitan:

Seri sudah memadai buat England dan Republik Czech untuk mara ke pusingan 16 terbaik selepas dua lagi pasukan dalam Kumpulan D - Croatia dan Scotland sekadar mengutip satu mata selepas mengharungi dua perlawanan.

"Kami tetap memburu kemenangan ke atas Republik Czech walaupun secara matematiknya, keputusan seri sudah cukup memadai untuk kami mara ke pusingan seterusnya.

"Kami mahu membuktikan kepada pihak di luar sana yang kami sentiasa memberikan komitmen 100 peratus di tengah padang. Saya harap kami dapat membuktikan sesuatu pada perlawanan menentang Republik Czech nanti.

"Saya jangkakan perlawanan itu akan berlangsung sengit kerana Republik Czech juga sudah pasti mahu memburu tiga mata penuh. Jadi kami harus lebih berwaspada jika tidak mahu keciciran mata penting," ujar Sterling.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!