'Kes mahkamah belum selesai, tapi boleh ke luar negara'

Hasanuddin Mohd Yunus
Hasanuddin Mohd Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus mempersoalkan kebenaran diberikan kepada seorang ahli Parlimen untuk ke luar negara bagi satu misi kemanusiaan ketika kes jenayah pemimpin terbabit di mahkamah masih belum selesai.

Beliau berkata, ketika rakyat tidak berpuas hati dengan memberi pelbagai gelaran seperti kluster kayangan kepada golongan kenamaan atau VIP kerana mendapat layanan istimewa berbanding rakyat biasa, tiba-tiba muncul kisah ahli Parlimen terbabit.

"Tidak malukah orang Malaysia apabila ahli Parlimen yang kes jenayahnya di mahkamah belum selesai dan pasport ditahan, tiba-tiba diluluskan permohonannya untuk ke luar negara atas satu misi kemanusiaan?

"Nampaknya, bila kenal rapat dengan semua 'warlords', semua jadi mudah dan lulus. Apakah kes ini akan membuka amalan baharu? Sesiapa sahaja masih ada perbicaraan di mahkamah dibenarkan ke luar negara walaupun untuk sebuah misi kemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.

Hasanuddin bagaimanapun tidak merujuk kepada mana-mana ahli Parlimen secara khusus, sebaliknya berkata, semua mengetahui masih ramai tokoh, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pejuang kemanusiaan yang lebih berkaliber dan mampu melaksanakan tugas tersebut.

"Apakah mesej sebenar yang mahu kita sebarkan kepada rakyat dan anak muda? Seseorang yang berkedudukan, berharta dan mempunyai ramai kenalan boleh berada di atas undang-undang.

"Ini nilai baharu Malaysia yang mahu kita bina? Cukup-cukuplah kepura-puraan kita. Hentikan amalan pilih kasih. Rakyat hari ini sudah tahu banyak perkara di hujung jari.

"Tidak mahukah negara memulihkan semula jati diri dan mengembalikan semula nilai dan wibawa bagi sebuah kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, meneruskan amalan pilih kasih seperti itu hanya menambah rasa benci rakyat terhadap kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gagal dan lemah.

"Lebih buruk lagi apabila pihak asing memperlekeh pemimpin-pemimpin politik yang korup ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!